Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Fasa pertama penghantaran pulang pendatang tanpa izin (PATI) akan dimulakan pada 6 Jun ini.

Ia melibatkan 2,189 PATI warga Indonesia yang berada di depot-depot Imigresen di semenanjung dan Sarawak serta 672 pati di depot-depot Imigresen di Sabah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kumpulan pertama yang melibatkan 450 PATI akan dihantar pulang dengan tiga penerbangan ke Jakarta, Medan dan Surabaya pada 6 Jun 2020 dan akan diikuti pada 10 Jun 2020 dengan penghantaran pulang 445 PATI ke Jakarta, Medan dan Surabaya.

“Proses penghantaran pulang juga akan menggunakan jalan laut, di mana 1,294 PATI dijadualkan berlepas ke Medan pada 22 Jun 2020.

“Fasa kedua pula akan melibatkan 2,623 PATI yang akan dihantar pulang dalam masa dua bulan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tambah Ismail Sabri, Jabatan Imigresen Malaysia bersama Wisma Putra sedang berbincang dengan Kedutaan Nepal dan Bangladesh bagi menghantar pulang 246 PATI Nepal dan 2,476 PATI Bangladesh yang berada di Depot Tahanan Imigresen.

Kedutaan Kemboja juga telah menyatakan kesediaan untuk menerima pulang 67 warganegara mereka yang berada di Depot Tahanan Imigresen.

Ketika ditanya mengenai penempatan PATI yang kini berpindah ke kawasan-kawasan pinggir bandar, Ismail Sabri berkata, usaha membenteras pendatang asing tanpa dokumen yang sah adalah usaha berterusan dan bukannya hanya ketika wabak Covid-19 serta tidak hanya tertumpu di kawasan-kawasan tertentu sahaja.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan sebuah video yang mengatakan terdapat penempatan baharu warga Bangladesh di Sungai Buloh.

Jelasnya, ia merupakan video lama.

“Video tersebut adalah lama, saya difahamkan sudah dua atau tiga tahun.

“Kita perlu pastikan video-video yang tular berkenaan adalah benar atau tidak. Sekiranya benar, saya mengucapkan terima kasih (kerana berkongsi maklumat)” katanya.- MalaysiaGazette