Permandangan senja di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto AFFAN FAUZI,

LANGKAWI – Dalam keadaan pelancong asing tidak boleh masuk Malaysia dan orang tempatan tidak boleh merentas negeri, industri hotel di Langkawi kini hanya boleh menyasarkan orang Kedah.

Walaupun Kuala Perlis merupakan destinasi transit utama ke Langkawi, tetapi disebabkan tiada rentas negeri dari Perlis ke Kedah, maka perjalanannya masih memerlukan kelulusan pihak polis.

Demi meneruskan keberlangsungan, beberapa hotel di Pulau Langkawi telah menawarkan diskaun besar-besaran, sehingga penduduk Kedah boleh menghuni hotel lima bintang dengan harga RM120 sahaja.

China Press melaporkan, Tanjung Rhu Resort yang bertaraf lima bintang dan biasanya mengenakan lebih RM400 satu bilik kini menawarkan harga bermula RM120 untuk orang Kedah yang menghuni sebelum 9 Jun.

Walau bagaimanapun, penghuni tidak dapat menikmati semua kemudahan hotel seperti biasa dan harga promosi yang ditawarkan juga tidak merangkumi sarapan.

Selain itu, penghuni juga tidak boleh beriadah di laut, tetapi hanya dibenarkan bersantai dan berjalan-jalan di pantai milik pihak hotel.

Selain itu, Berjaya Langkawi Resort turut menawarkan diskaun istimewa serendah RM130 dan RM198 semalam untuk orang Kedah sehingga 9 Jun.

Di Pulau Pinang pula, hotel-hotel turut menawarkan diskaun khusus kepada penduduk Pulau Mutiara.

Hotel E&O menawarkan RM388 semalam kepada orang yang dapat membuktikan diri sebagai orang Pulau Pinang melalui bil elektrik dan air, kad bisnes atau dokumen pengenalan diri lain.

Pengurus hotel tersebut memberitahu, promosi itu dijangka dapat mengisi hotel itu sebanyak 10 peratus. – MalaysiaGazette