KUALA LUMPUR – Kaedah prorata bagi tarif eletrik yang digunakan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) tidak menyebabkan kenaikan bil secara mendadak kepada hampir sembilan juta pelanggan syarikat utiliti tersebut selepas Perintah Kawalan Pengerakan (PKP) dilonggarkan.

Ketua Pegawai Retail Tenaga Nasional Bhd (TNB) Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata kaedah prorata untuk pelarasan bil ini memastikan jumlah bil yang tepat bagi setiap bulan bil anggaran dibuat dan memberi jaminan tiada caj berlebihan kepada pelanggan.

“Semasa PKP dijalankan, kita memberhentikan bacaan meter di tapak (premis pengguna). Pelanggan tidak menerima bil bacaan. Bagaimanapun TNB mengeluarkan bil anggaran berdasarkan bil bulan sebelumnya.

“Tujuan kita keluarkan bil anggaran (semasa PKP) adalah supaya pelanggan tidak terkejut menerima bil akan datang (yang dikeluarkan pembaca meter). Kita paparkan bil (anggaran) ini di portal dan aplikasi MyTNB supaya pelanggan boleh tengok dan membuat pembayaran semasa PKP,” katanya.

Megat Jamaluddin berkata demikian semasa ditemu bual di Program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM.

Beliau berkata kaedah prorata ini telah disemak dan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga untuk digunakan TNB.

Menurutnya bil-bil anggaran telah mula diselaraskan di semua negeri yang PKP telah dilonggarkan (zon hijau dan kuning) kerana kerja-kerja pembacaan meter boleh dijalankan semula.

“Kalau kita tidak gunakan prorata untuk perbandingan, kalau kita terus darab sahaja menggunakan tariff band, jumlah akan jadi lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata bil elektrik tinggi yang diterima pengguna berpunca daripada tempoh PKP yang lama melebihi dua bulan serta penggunaan tenaga tinggi semasa tempoh tersebut.

Menurutnya lagi, susulan kelonggaran PKP, TNB telah memulakan semula pembacaan meter di beberapa negeri sejak 15 Mei lepas.

“Kita akan beri diskaun setelah bil bulanan diberikan berdasarkan pengumuman dalam pakej rangsangan ekonomi. Kita juga akan tolak dari bayaran bil anggaran ,” kata Megat Jamaluddin.- BERNAMA

1 Komen

  1. Zaman teknologi ni, TNB masih tak pakai otak. Hang dah ada apps, suruh la customer snap gmbr meter pastu submit utk bacaan bil. Tak payah bg alasan officer tak leh mai baca meter pasni. Semua psl tnb takut sgt rugi dan tak percaya kat org lain. Kalau ada alternatif lain, kami pun xmau beli letrik dr TNB. monopoli bisnes dan perguna rakyat.

Comments are closed.