Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun

KUALA LUMPUR – Berdasarkan rekod cemerlang wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, ada baiknya pihak lain ‘berundur’ dan memberikan laluan BN sebagai penyandang jawatan di kawasan itu.

Pengerusi Kami Anak Felda (KAF) Chini, Ahmad Shahril Zailudin berkata, seandainya ada parti politik mahupun calon bebas mempunyai hasrat untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, lebih baik mengubah fikiran.

Ini kerana menurut Ahmad Shahril dalam satu kenyataan hari ini berpendapat, prestasi yang ditunjukkan oleh Allahyarham selama empat penggal bermula PRU-11 – DUN Chini bawah Parlimen Pekan itu sememangnya kubu kuat BN.

“Lagi pun negara ketika ini sedang bertungkus lumus mengekang penularan Covid-19, seharusnya apa yang menjadi fokus utama adalah kesihatan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat sebenarnya.

“Pada masa sama, kita juga tidak dapat lari daripada krisis ekonomi memandangkan banyak aktiviti serta sektor terjejas akibat pandemik ini.

“Justeru itu, KAF ingin menyeru kepada semua parti-parti khasnya Pakatan Harapan (PH) mahupun calon bebas tidak bertanding pada PRK Dun Chini ini. Beri sahaja laluan kepada BN sebagai penyandang.

Sambung Ahmad Shahril, tindakan tidak bertanding oleh pihak-pihak ini juga sebenarnya dapat menjimatkan kos perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebanya RM4.3 juta yang pastinya boleh digunakan untuk perkara lebih penting.

“Kesediaan parti politik dan calon bebas ini memberikan laluan kepada BN selaku penyandang kerusi N23 akan memberikan faedah kepada rakyat sebenarnya kerana banyak yang terjejas akibat Covid-19.

“Harap semua akan berjiwa besar hadapi ancaman Covid-19 sekurang-kurangnya untuk elak kluster Dun Chini atau kluster PRK pula.

“Selesaikanlah ancaman pandemik yang kritikal ini terlebih dahulu sebelum kembali ke medan pilihan raya nanti,” ujarnya.

SPR menetapkan tarikh hari penamaan calon PRK itu pada 20 Jun dan pengundian awal akan diadakan 30 Jun, manakala hari mengundi pada 4 Julai.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi manakala calon PKR Mohamad Razali Ithnain mendapat 1,065 undi.

Abu Bakar yang ketika itu memperoleh 10,027 undi merupakan penyandang kerusi DUN tersebut sejak PRU ke-11 pada 2004.

DUN Chini, satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, akan menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas. –MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.