Arkib. Anggota polis melakukan pemeriksaan kadar alkohol terhadap seorang pemandu pada Operasi Mabuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Lapan individu termasuk dua warga asing telah ditahan atas kesalahan memandu di atas jalan raya dalam keadaan mabuk dalam satu operasi di ibu negara malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mereka yang berusia antara  30 dan 60 tahun itu didapati melakukan kesalahan tersebut ketika ditahan dalam tiga sekatan jalan raya berasingan di lokasi strategik di ibu negara.

“Kita dapat menangkap seramai lapan orang terlibat membawa kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

“Kita dalam operasi malam ini terhadap pengaruh alkohol dan lapan orang berkenaan didapati positif bacaan 80 ke atas menerusi ujian preliminari alat SD2 di lapangan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim semasa Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2020

“Kini mereka telah dibawa ke Balai Trafik di Jalan Tun H.S.Lee untuk ujian saringan kedua menggunakan alat EBA untuk menentukan positif atau negatif alkohol.

“Selepas ujian kedua juga menunjukkan positif kita akan membawa suspek dan menuduh di mahkamah di bawah Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memastikan mereka tidak terlepas daripada tindakan undang-undang berat,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Kira-kira 110 anggota dan pegawai PDRM menyertai Op Mabuk di tiga lokasi iaitu di Jalan Kuchai Lama, Solaris Dutamas, dan Jalan Raja Chulan.

Menurut Mazlan, PDRM serius terhadap mereka yang memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol kerana ia akan membahayakan awam.

Menurutnya, operasi berkenaan akan dijalankan dari semasa ke sesama secara berterusan untuk menasihati orang ramai supaya tidak membawa kenderaan dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim bercakap kepada media selepas Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2020

“Kalau lihat statistik tahun lepas seramai 739 orang telah ditahan atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol manakala tahun ini sejak Januari lalu, seramai 455 orang terlibat membawa kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

“Sya harap tindakan penguatkuasaan kami ini dapat mengelak pemandu memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, saya nasihatkan mereka yang mabuk jangan sesekali membawa kenderaan kerana ia membahayakan nyawa orang awam.

“Kita bukan nak perangkap orang secara sengaja, tapi cuma nak pastikan mereka yang minum arak tau alkohol tidak membawa kenderaan dan memandu dalam keadaan mabuk satu kesalahan serius,” tegasnya.

Dalam pada itu beliau turut hadir meninjau Op Bersepadu melibatkan kenderaan atas pelbagai kesalahan di Jalan Raja Laut/Jalan Maju Junction malam tadi.

Katanya penguatkuasaan itu diadakan ke atas kenderaan yang tidak menepati ciri keselamatan, tanpa dokumen kenderaan yang sah dan membawa dalam keadaan mabuk.

“Sebanyak 138 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan untuk tindakan lanjut dan walaupun PKPB, semua pihak perlu mematuhi keselamatan dan undang-undang lalu lintas serta pesalah tidak terkecuali dari tindakan undang-undang di bawah APJ 1987,” tegasnya.-MalaysiaGazette