Bayi comel, Fareena Shahmina menghadapi masalah jantung berlubang.

KUALA LUMPUR – Seorang bayi, berusia 10 bulan yang menghidap Down Syndrome perlu menjalani pembedahan kerana jantung berlubang.

Namun, keluarganya tidak mampu menampung kos yang dianggarkan antara RM20,000 hingga RM30,000 itu kerana ayahnya, Faidzal Shahril Alang Abdul Rahman, 40, kehilangan pekerjaan pada Januari lalu.

Diberhentikan kerja tanpa sebarang pampasan, menyebabkan Faidzal Shahril Alang, bekas pelatih aksi ngeri (stuntman) di sebuah syarikat perfileman di Ipoh, Perak buntu memikirkan untuk mengumpul wang sebanyak itu bagi menyelamatkan nyawa anak kesayangannya.

Faidzal Shahril Alang bersama isteri dan anak-anaknya, sedih mengenangkan nasib diri selepas kehilangan pekerjaan.

Dia yang diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga berkata, pembedahan Fareena Shahmina akan dilakukan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 3 Jun ini, sedangkan duit yang diperlukan belum terkumpul.

“Pakar jantung IJN yang membuat pemeriksaan bersama pakar Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan Fareena menghidap penyakit jantung berlubang.

“Oleh itu, pembedahan perlu dilakukan segera seperti dijadualkan bagi merawat dua lubang yang terdapat dijantungnya.

“Sejujurnya saya tidak mempunyai wang sebanyak itu, ini yang membuntukan saya. Sejak diberhentikan kerja, pendapatan saya hanya bergantung kepada kerja mencetak baju secara kecil-kecilan dan menjadi ‘runner’,” katanya.

Fareena Shahmina adalah anak bongsu daripada empat beradik, manakala kakak sulungnya, Farisha, 10, turut disahkan sebagai kanak-kanak autism dan kini bersekolah di aliran Pendidikan Khas.

Anak kedua pasangan Faidzal Shahril Alang dengan isterinya, Noor Suhaida Shariff, 40, iaitu Farzana Safiyyah, 5, bersekolah tadika dan seorang lagi anaknya, Farihah Surfina, 4, berada dalam keadaan yang sihat.

Faidzal Shahril turut menyatakan rumah yang disewanya sekeluarga itu juga sudah tiga bulan tertunggak yang berjumlah RM2,700 dan bimbang sekiranya tuan rumah memberinya notis supaya keluar dari kediaman itu.

Kisah duka itu turut mendapat perhatian beberapa Exco Kerajaan Perak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri yang tampil menghulurkan bantuan, namun masih belum mencukupi untuk menampung kos pembedahan anaknya.

“Saya harap kos diperlukan ini dapat dikumpul dalam masa terdekat agar urusan pembedahan anak saya dapat berjalan dengan lancar. Ini memang menyulitkan, tapi saya yakin ianya akan dipermudahkan Allah,” katanya.

Kepada yang hendak menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 162807119308 – Faidzal Shahril Alang Abdul atau terus ke rumahnya di alamat , No.8, Laluan Meru Indah 2A, Gerbang Meru, 30020, Ipoh Perak. – MalaysiaGazette