KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melancarkan kembali kempen 'Labur Raya'untuk menanam minat menabung dalam kalangan kanak-kanak dengan cara melabur.

Pada tahun ini, kempen 'Labur Raya 2020' menawarkan ‘duit raya’ berjumlah RM200,000 berupa unit-unit amanah ASNB untuk dimenangi oleh 830 pemenang yang akan dipilih secara rawak berdasarkan nilai pelaburan
yang dibuat.

Matlamat kempen ini antara lain bertujuan untuk menggalakkan orang ramai terutamanya ibu bapa, penjaga serta ahli keluarga supaya melaburkan duit raya yang diterima anak-anak mereka ke dalam unit amanah ASNB untuk membina tabungan masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin, berkata, sebagai ibu bapa, adalah penting untuk kita menerapkan minat menabung dan melabur dalam diri anak-anak demi menjamin masa depan yang lestari.
Kempen Labur Raya ini dilancarkan pada tahun 2017 inisiatif ASNB untuk menggalakkan ibu bapa supaya melabur untuk
anak-anak dalam unit amanah ASNB sebagai satu cara menyimpan wang dan membina tabungan untuk faedah jangka panjang.

Mohammad berkata, walaupun Syawal kali ini disambut agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya, ASNB yakin tradisi pemberian duit raya masih lagi diteruskan.

Katanya,  ASNB meraikan tradisi ini dengan menyediakan insentif sebagai galakan kepada ibubapa atau penjaga melaburkan duit raya anak-anak mereka kerana pelaburan memberi peluang untuk pulangan lebih baik berbanding jika wang berkenaan dibiarkan saja di rumah atau dibelanjakan.

Bagi yang berminat menyertai kempen ini, mereka hanya perlu membuka akaun atau membuat pelaburan tambahan untuk pelabur berusia 18 tahun ke bawah sama ada dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) atau Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik).

Ibu bapa serta penjaga yang berhemah dan prihatin tentang perancangan kewangan untuk anak-anak tentu akan merebut peluang Labur Raya ini kerana ketiga-tiga unit amanah ASB, ASB 2 dan ASB 3 Didik adalah unit amanah harga tetap yang diniagakan pada harga RM1 seunit dan merupakan unit amanah berisiko rendah yang sesuai untuk pelaburan jangka panjang seperti membina tabung pendidikan.

Wang yang dilaburkan juga berpeluang menerima pulangan tahunan dan adalah lebih selamat untuk menyimpan di dalam unit amanah berbanding jika ia dibiarkan sahaja dalam tabungan di rumah.

Selain itu, pelaburan juga boleh dibuat dengan mudah melalui pilihanatas talian yang disediakan seperti aplikasi myASNB serta platform-platform ejen ASNB.

Pelaburan mesti dibuat sepanjang tempoh kempen berlangsung iaitu dari 28 Mei hingga 31 Julai 2020 dan pemenang hanya akan diumumkan tiga bulan selepas tarikh tutup.

Ibu bapa atau penjaga berdaftar boleh melabur terus ke dalam akaun anak-anak yang didaftarkan dibawah nama mereka menerusi portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau kemudahan perbankan dalam talian seperti Maybank2u, CIMBClicks, RHBNow dan AffinOnLine.

Mereka yang belum pernah mendaftar sebagai pengguna myASNB boleh berbuat demikian di laman web myASNB. Namun, mereka perlu mengemaskini nombor telefon terlebih dahulu di mana-mana cawangan atau ejen ASNB.

Bagi yang belum mempunyai akaun pelaburan dengan ASNB, mereka boleh membuka akaun di mana-mana cawangan atau ejen ASNB seperti Maybank, CIMB Bank, RHB Bank, Pos Malaysia, Hong Leong Bank, Bank Islam, Bank Muamalat, Affin Bank, Ambank, Alliance Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Untuk membuka akaun baharu, dokumen yang perlu dibawa ialah sijil kelahiran dan kad pengenalan asal ibu bapa atau penjaga.

Urus niaga pelaburan tambahan juga boleh dibuat di mana-mana cawangan atau ejen ASNB dan untuk pelaburan tambahan pihak ketiga, hanya nombor akaun dan nombor kad pengenalan diperlukan. – MalaysiaGazette