Sebahagian penduduk beratur untuk membuat saringan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Pasar Jalan Othman, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 11 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tiga lagi kluster baharu jangkitan wabak Covid-19 di Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster tersebut membabitkan 15 kes yang diambil daripada tindakan persampelan rawak oleh pejabat kesihatan negeri.

Beliau berkata, ia membabitkan kilang papan dan syarikat pembinaan di Maran dan ladang di Bera.

“Ladang di Bera merekodkan tujuh kes positif, kilang papan di Maran (enam) dan syarikat pembinaan di Maran, melibatkan dua kes.

“Kesemua 15 kes yang dikesan positif itu melibatkan bukan warganegara,” katanya pada sidang media Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Noor Hisham, semua individu yang didapati positif selepas ujian saringan kini dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ujarnya, tindakan pengesanan kontak rapat terhadap individu yang didapati positif wabak berkenaan turut giat dijalankan.

Katanya, punca dan jangkitan sebenar masih lagi disiasat. – MalaysiaGazette