Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan menyerahkan isu tuntutan ganti rugi pembatalan kelulusan konsesi balak di Kedah kepada kerajaan negeri itu untuk menyelesaikannya.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yakin kerajaan negeri itu akan dapat menyelesaikannya.

“Prinsip kita bersetuju untuk memelihara alam sekitar dan bekalan air, kedua-duanya menjadi keutamaan kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Sebab isu ini dibawa oleh kerajaan lama yang disambung, jadi saya fikir kerajaan negeri akan ada kaedah penyelesaian terbaik,” katanya dipetik sebagai berkata ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan bekalan air dan alam sekitar bersama kerajaan negeri di Wisma Darul Aman hari ini.

Turut hadir ketika mesyuarat adalah Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Baru-baru ini Muhammad Sanusi berkata, tuntutan pembatalan kelulusan konsesi akan menyaksikan tuntutan pampasan mencecah RM1.5 bilion.

Untuk rekod, kerajaan negeri Kedah membuat keputusan membekukan dan menghentikan pembalakan dalam kawasan tadahan air itu dibuat dalam satu mesyuarat pada 30 Ogos 2018. -MalaysiaGazette