Orang ramai hadir pada hari terakhir permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Klang, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 31 MEI 2020

KLANG – Orang ramai dinasihatkan keluar lebih awal dan tidak melakukan urusan di premis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada saat akhir untuk membuat rayuan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Menurut Pegawai Pembantu Hasil LHDN Cawangan Klang, Md Nasir Saad, walaupun hari ini merupakan tempoh terakhir untuk orang ramai membuat rayuan BPN, namun pihaknya tidak menerima pemohon selepas jam 4 petang ini.

“Kalau ikutkan kaunter kita dibuka tepat jam 8 pagi sehingga 4 petang, pemohon dinasihatkan untuk datang ke kaunter sebelum jam 4 petang.

“Ini bagi mengelakkan kesesakan berlaku di premis, malah kita tak dapat menerima pemohon yang datang selepas jam 4 petang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di LHDN Cawangan Klang, hari ini.

Orang ramai hadir pada hari terakhir permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Klang, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 31 MEI 2020

Sebelum ini, pemohon yang gagal mendapat BPN boleh mengemukakan rayuan kepada semua cawangan LHDN bermula 11 Mei sehingga 31 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, agensi tersebut bersama Kementerian Kewangan bersetuju untuk memberi peluang kepada pemohon-pemohon BPN yang gagal untuk membuat rayuan.

Para pemohon dikehendaki menyediakan dokumen-dokumen berkaitan bagi membolehkan kerajaan menimbang semula permohonan masing-masing.

Rayuan boleh dikemukakan melalui emel [email protected] atau mengunjungi mana-mana cawangan LHDN.

Dalam pada itu, Md Nasir juga berkata, pihaknya menjangkakan jumlah pengunjung ke LHDN Cawangan Klang hari ini bertambah susulan masih masih ramai membuat permohonan rayuan di saat akhir.

“Bermula sejak jam 7 pagi tadi, pengunjung sudah datang beratur untuk membuat rayuan di LHDN Cawangan Klang

“Setakat jam 12 tengahari tadi, lebih 500 pengunjung telah direkodkan di sini dan masih ramai datang ke sini untuk membuat rayuan dan sebelah petang nanti dijangka jumlah pengunjung akan bertambah.

“Semalam saja, kita menerima 740 pengunjung dan ikut hari ini dijangka 700 atau 800 pengunjung akan datang buat rayuan di LHDN Cawangan Klang,” katanya.

Katanya lagi, pemohon juga dinasihatkan membuat semakan dengan pihak LHDN dahulu sebelum datang ke kaunter bagi memastikan dokumen sokongan yang dibawa ketika membuat rayuan menepati syarat.

“Untuk mengelakkan pemohon datang membazir masa contohnya bawa dokumen tak lengkap, pemohon perlu semak dahulu sebab permohonan itu gagal.

“Jika permohonan ditolak disebabkan pendapatan, kami memerlukan slip gaji suami isteri untuk tiga bulan terkini dan kalau SSM kita perlukan penyata akaun bank perniagaan tersebut ataupun bukti pendapatan daripada syarikat tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette