Orang ramai dilihat membeli barangan keperluan sempena menjelang Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Dato Keramat, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 22 MEI 2020.

Oleh Jason Loh dan Amir Jalal

Ketidapastian mengenai bilakah negara kita boleh kembali beroperasi seperti sedia kala walaupun di bawah “norma baru” dengan berakhirnya PKP serta bilakah strategi keluar daripada PKP dapat dilaksanakan telah menimbulkan kebimbangan
tentang sekuriti makanan negara. Terdapat keperluan untuk menerapkan pendekatan yang holistik dalam menangani
sekuriti makanan negara dengan mengambil kira isu harga makanan itu sendiri, termasuk inflasi.

Satu pendekatan menyeluruh diperlukan di mana isu sekuriti makanan bukan saja dilihat dengan sendirinya malahan juga dikaikan dengan isu harga makanan dan inflasi. Dalam hal ini, kita boleh melihat sekuriti makanan sebagai bahagian pembekalan dari satu persamaan dasar. Lantaran itu, harga makanan dan inflasi pula adalah bahagian permintaan. Ini boleh dicernakan dengan Skim Harga Maksimum untuk musim Raya tahun ini berhubung dengan makanan dan barangan berkaitan makanan seperti tomato, cili merah, bawang besar dan cili kering.
Ini menyusuli laporan harga barangan makanan penting dan utama seperti ayam telah meningkat. Di Kuantan, harga ayam kini sekitar RM10 sekilogram berbanding sekitar RM7.50 sekilogram semasa awal PKP – peningkatan melebihi 30 peratus.

Di dalam skala yang lebih besar, kita dapat lihat masalah ini tidak hanya berlaku semasa musim perayaan. Semasa peringkat awal PKP fasa pertama, barang yang  disenaraikan sebagai tidak
penting terkandas di pelabuhan. Ini telah mengakibatkan gangguan dalam rantaian bekalan domestik kerana ia memberi kesan langsung terhadap saluran pengedaran dan ia juga menimbulkan masalah dalam sektor ekonomi yang lain.
Jelas walaupun makanan dan minuman disenaraikan sebagai barangan penting, namun disebabkan timbunan barangan tidak penting yang terkandas di pelabuhan, ia menghalang barangan penting untuk memasuki pelabuhan.

Ditambah pula, terdapat laporan mengenai kekurangan sayur-sayuran, terutamanya daripada Cameron Highlands. Malah, harga beberapa makanan meningkat dengan ketara semasa PKP fasa pertama. Di Alor Setar, harga kubis meningkat daripada RM4 kepada RM6.50 sekilogram. Manakala harga cili besar meningkat daripada RM8 kepada RM12 sekilogram. Lori dan trak yang membawa sayur-sayuran ini dikatakan berhadapan dengan
sekatan jalan raya, waktu operasi yang lebih pendek dan kekurangan tenaga kerja untuk menghantar bekalan.

Pada masa yang sama, penutupan restoran dan operasi terhad untuk pasar basah juga mengganggu rantaian bekalan dan mengurangkan bekalan makanan segar. Walaupun bahan mentah dan barangan separuh-siap untuk kilang pembuatan tidak
termasuk dalam barangan penting, namun ia menjadi masalah kepada pihak berkuasa pelabuhan kerana kapasiti tidak mencukupi, dan akan menyebabkan kelewatan dan tunggakan dalam rantaian bekalan. Jika situasi ini tidak diuruskan dengan baiknya, kos penyimpanan barangan akan ditanggung oleh pengguna akhir, seperti yang disahkan oleh Mr Alvin Chua,
Presiden Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF).
Ini akan memberi kesan dalam bentuk tekanan inflasi dalam suasana kadar pengangguran meningkat, sekali gus memberi kesan buruk terhadap sekuriti makanan negara.

Dalam memastikan bekalan makanan sampai ke pasar (pengguna akhir), kita harus memastikan harga makanan dan inflasi juga dapat dikendalikan dengan cekap. Justeru, dalam merancang sekuriti makanan negara dengan mengurus harga makanan dan inflasi, pihak kerajaan boleh meningkatkan peranan mereka dengan memberi fokus terhadap perkara-perkara berikut:

1. Simpanan stok – kerajaan harus menyediakan pusat simpanan stok atau menjadi pembeli akhir. Inisiatif ini bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan para petani dan pengeluar hasil pertanian, namun juga dapat menghapuskan “orang tengah” dalam mengurangkan kos kepada pengguna akhir.

2. Hab makanan bersepadu – pusat untuk para petani, pengeluar dan pengedar makanan dikumpulkan di dalam satu tempat untuk menjimatkan kos dan memendekkan rantaian bekalan, termasuk mengurangkan campur tangan “orang tengah”. Hab ini boleh ditempatkan di beberapa lokasi secara strategik.

3. Pengawasan harga yang lebih kerap – pihak kerajaan harus mempertingkat penguatkuasaan dan pemantauan harga dengan merekrut lebih ramai “barisan hadapan” (mencipta peluang pekerjaan).

4. Koperasi – pihak kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) harus meningkatkan peranan koperasi sebagai sebahagian daripada saluran pengedaran atau penghantaran di dalam rantaian bekalan. Pada masa yang sama, melalui pembelian secara pukal, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan terhadap “orang tengah”.

5. Pasukan khas untuk Agri-Sekuriti Makanan – pihak kerajaan boleh menubuhkan pasukan khas untuk menangani cabaran sekuriti makanan negara yang terdiri daripada pakar sektor pertanian, peladang, ahli ekonomi, pakar runding, saintis makanan dan pemegang taruh yang lain di bawah pimpinan Perdana Menteri dan dibantu oleh Menteri Pertanian dan Industri
Makanan.

Buat masa kini, tahap sara diri (self-sufficiency level, SSL) negara di bawah 75 peratus. Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) negara secara keseluruhannya meningkat di kedudukan ke 28 daripada 113 negara pada tahun 2019 dengan skor 73.8, yang dianggap “pencapaian baik”. Jika dilihat dalam pecahan sub-kategori, dari segi kemampuan makanan, kita juga berada di tangga ke 28. Namun, untuk keselamatan makanan dan kualiti makanan, kita berada di kedudukan ke 42. Jadi, terdapat ruang yang boleh ditambah baik.

Oleh itu, hal ini perlu diberi penekanan, kerana pada akhirnya, sekuriti makanan akan bersangkut paut dengan dinamik harga makanan dan inflasi. Maka dapat disimpulkan sekuriti makanan turut terkesan dengan dinamik harga makanan serta inflasi juga.
Lantas, sangat kritikal dalam memastikan keseluruhan rantaian bekalan dan bukan sahaja pertanian dan pengeluaran adalah sama penting untuk diambil kira bersama dengan harga makanan serta inflasi. Dalam hal ini, apa yang penting ialah iltizam politik untuk lebih berusaha ke arah jaminan sekuriti makanan negara.

Jason Loh dan Amir Jalal merupakan Pasukan Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.