Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini menafikan dua lagi berita palsu yang ditularkan di media sosial ketika negara sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini menafikan dua lagi berita palsu yang ditularkan di media sosial ketika negara sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Pasukan Respon Pantas KKMM, dua laporan palsu kali ini melibatkan pekan Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Pondok Tahfiz As Sharif Seri Jaya, Batu Gajah, Perak.

Antaranya, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Mohd Faizal Abdul Manap menafikan dakwaan wabak Covid-19 telah tersebar di Pekan Juasseh melalui seorang individu positif Covid-19 yang telah berkunjung ke merata tempat di pekan tersebut.

“Sebaliknya pejabat kesihatan daerah telah membuat saringan ke atas kontak rapat pesakit berkenaan dan setakat ini tiada pengesanan bahawa pesakit yang sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar itu merupakan pembawa virus dari Shah Alam,” katanya Pasukan Respon Pantas KKM hari ini.

Bagi berita palsu kedua pula, Pengetua Pondok Tahfiz As Sharif Seri Jaya, Batu Gajah, Perak menafikan dakwaan seorang pelajar tahfiznya telah dijangkiti dan disahkan positif Covid-19 semasa berada di pusat tahfiz tersebut.

“Bagaimanapun pelajar yang dimaksudkan itu tidak menghadiri kelas pengajian di pusat tahfiz tersebut sejak Februari lalu iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan lagi.

“Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah telah mengesahkan bahawa pusat tahfiz tersebut telah ditutup selama tiga bulan tanpa kehadiran pelajar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette