Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Jumlah kematian bagi kes Covid-19 masih kekal sebanyak 115 kes sejak beberapa hari lalu tanpa ada penambahan.

Bagaimanapun, jumlah kes positif baharu Covid-19 hari ini sebanyak 38 kes menjadikan jumlah keseluruhan wabak itu di Malaysia adalah sebanyak 7,857 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 38 kes baharu yang dilaporkan, 26 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 12 kes penularan tempatan, enam kes adalah kes bukan warganegara dan hanya enam kes dalam kalangan
warganegara Malaysia,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut hanya dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, menurut Noor Hisham, terdapat sebanyak 51 kes telah pulih dan dibenarkan keluar wad pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah
sebanyak 6,404 kes atau 81.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette