Dr. Afif Bahardin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) digesa segera mengembalikan semula program pembiayaan pengajian MyBrain yang telah dibekukan oleh bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin berkata, gesaan itu dibuat selepas Menteri Kewangan memaklumkan hutang dalam negeri Kerajaan Persekutuan masih berada dalam keadaan yang terkawal dan dijangka tidak melebihi had statutori 55 peratus susulan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

Oleh itu, menurutnya, alasan bebanan hutang Kerajaan Persekutuan yang terlalu tinggi sebelum ini tidak lagi boleh digunapakai untuk menghalang pelajar-pelajar yang berkebolehan daripada mendapat bantuan pembiayaan pengajian yang sewajarnya.

”Maszlee telah mengambil keputusan untuk membekukan peruntukan kepada program pembiayaan pengajian tersebut atas alasan bebanan hutang kerajaan persekutuan yang terlalu tinggi,” katanya.

MyBrain diperkenalkan pada 2008 dengan tujuan untuk meningkatkan jumlah pemegang PhD dan (Master) bagi mencapai sasaran 60,000 pemegang PhD dan Master di Malaysia menjelang 2023.

Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin, beliau mohon kerajaan Perikatan Nasional untuk meletakkan kepentingan pendidikan sebagai keutamaan dalam usaha untuk melahirkan modal insan cemerlang bagi mengisi keperluan pembangunan negara untuk menjadi sebuah negara maju.

Sebarang usaha untuk memperkasakan aspek pendidikan tidak akan lengkap tanpa program seperti MyBrain yang telah dibuktikan berkesan untuk meningkatkan jumlah pemegang sijil pascasiswazah di dalam negara.

Bantuan pembiayaan pengajian ini menjadi lebih mustahak mengambil kira penularan wabak pandemik Covid-19 yang sudah pasti telah menjejaskan peluang sebilangan besar pelajar yang sebelum ini mempunyai perancangan untuk menyambung pengajian ke peringkat pasca-siswazah.

Menurutnya, kadar pengangguran yang dianggarkan telah meningkat secara mendadak akibat Perintah Kawalan Pergerakan juga akan menyaksikan permintaan pengajian pasca-siswazah yang lebih tinggi memandangkan pasaran pekerjaan kini akan menjadi lebih kompetitif. – MalaysiaGazette