ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki disyaki melakukan jenayah pecah amanah ke atas sebuah syarikat penjualan ubat-ubatan di bangunan 3 Two Square, Petaling Jaya berjaya dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditangkap sepasukan polis dari ibu pejabat polis Petaling Jaya dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Puchong Utama pada pukul 3.20 petang semalam.

“Siasatan polis mendapati suspek melakukan kesalahan jenayah pecah amanah ini sejak dari tahun 2019 hinggga 2020 melibatkan kerugian RM700,000,” katanya dalam kenyataan petang hari ini.

Nik Ezanee berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan kesalahan pecah amanah tersebut.

“Suspek telah ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” tambah beliau.-MalaysiaGazette