Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak berhak menggunakan nama Armada dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk apa-apa tujuan sekalipun terutama dalam percubaannya untuk campur tangan soal parti dan melontarkan pelbagai tohmahan.

Ini kerana Syed Saddiq bukan lagi Ketua Armada Nasional, kata Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

”Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di sebuah sidang media pada hari Jumaat, 29 Mei 2020 telah memberikan penjelasan terperinci bahawa keahlian saudara Syed Saddiq dan empat
individu lainnya telah gugur secara automatik. Dengan itu, saudara Syed Saddiq bukan lagi Ketua Armada Nasional,” tegasnya.

Lantaran itu, katanya, Sidang Media Armada Bersatu Malaysia oleh Syed Saddiq semalam membawa gambaran yang salah dan ia amat dikesali.

Malah, tohmahan-tohmahan yang dibuat di sidang media itu bukan sahaja menunjukkan kefahaman yang salah terhadap intipati perlembagaan parti, malah turut menimbulkan fitnah ke atas Bersatu dan barisan kepimpinannya.

Wan Ahmad menambah, Syed Saddiq bebas bergerak dengan mana-mana pertubuhan berdaftar pilihan beliau. namun tidak berhak menggunakan nama Armada dan Bersatu lagi.

Selain daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti iaitu badan eksekutif tertinggi di luar perhimpunan agung, majoriti cawangan dan bahagian termasuklah sayap Armada dan Srikandi sudah menyatakan sokongan mereka kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pemangku pengerusi.

Jelasnya, tindakan yang diambil oleh Muhyiddin semata-mata mahu mengukuhkan kedudukan parti dan menstabilkan kerajaan hari ini.

Ini adalah tanggungjawab beliau yang sah di sisi perlembagaan parti dan tugas beliau sebagai pemimpin negara.

Soal kebersamaan Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) adalah sesuatu yang ‘akademik’ dan perkara ini telah diputuskan oleh MPT dan dilaksanakan, malah sebuah kerajaan baharu yang diterajui Perdana Menteri Ke-8 sudah terbentuk.

”Saya berharap agar Syed Saddiq dan barisan kepimpinan Armada Pusat tidak lagi mengelirukan akar umbi dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan segala dasar dan keputusan parti.

”Bersatu sebagai sebuah parti politik sentiasa memastikan keharmonian organisasi dan memelihara nama baiknya di mata awam. Barisan anggota Bersatu yang setia sekali-kali tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggugat keluarga besar ini,” katanya. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. SIFAT MALU ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN (HADIS)…. JIKA TIADA SIFAT MALU..MAKA…..

  2. Kesian saddiq sekarang buka lagi permuda armada sekarang jadi pengundi biasa , bukan lagi luar biasa

  3. Bersatu jgn bongkaak sngat.. Tanpa TUN x der nya rakyat nk sokong Bersatu
    PRU15 Bersatu bakal dilenyapkan oleh MN. sekian

Comments are closed.