Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Keuntungan bersih OCBC Al-Amin Bank Bhd pada 2019 meningkat 28 peratus kepada RM164 juta berbanding RM129 juta pada suku sebelumnya.

Dengan peningkatan tersebut, keuntungan bersih OCBC Al-Amin naik 9.5 kali sejak tahun pertama ia beroperasi sepenuhnya dengan mencatatkan keuntungan bersih RM17 juta pada 2009, menurut bank itu dalam kenyataan hari ini.

Anak syarikat perbankan Islam milik penuh OCBC Bank (Malaysia) Bhd ini merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM202 juta pada 2019 dengan menyumbang 27 peratus kenaikan kepada RM159 juta yang dicapai pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Syed Abdull Aziz Syed Kechik berkata, pertumbuhan keuntungan yang kukuh pada 2019 itu disumbangkan terutamanya oleh elaun yang lebih rendah serta peningkatan pendapatan berasaskan yuran dan segmen perbankan perniagaan yang mencatatkan pertumbuhan pembiayaan yang stabil.

Mengenai 2020, beliau berkata di sebalik cabaran yang dihadapi akibat COVID-19, OCBC Al-Amin akan terus berusaha mempertahankan kedudukannya sebagai satu daripada dua bank Islam asing yang utama di Malaysia, didorong oleh kekuatan francais bank induknya, selain menguruskan risiko, memaksimumkan kolaborasi dalam kalangan unit perniagaan dan memperluaskan platform produk kekayaan.

“Tanpa mengambil kira perkara luar jangkaan membabitkan COVID-19, kami berharap untuk meneruskan rancangan pada masa depan.

“Kami akan terus membantu sektor perniagaan yang menghadapi masalah kewangan akibat COVID-19 dengan menyelesaikannya menerusi penyelesaian perbankan yang menyokong kesinambungan perniagaan  termasuk penyertaan kami dalam pelbagai skim bantuan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata syarikat itu juga akan terus menyokong pengantaraan berasaskan nilai (VBI), iaitu inisiatif Bank Negara Malaysia di mana OCBC Al-Amin akan memberi tumpuan dalam pembiayaan lestari sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjangnya. – MalaysiaGazette