Datuk Seri Tajuddin Atan

KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) mendapat Pengerusi baharu yang akan menggantikan Tan Sri Dr. Mohd Munir Abdul Majid yang tamat tempoh perkhidmatannya pada hari ini.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, tempat Mohd Munir akan digantikan dengan Datuk Seri Tajuddin Atan berkuatkuasa esok.

“Bagi pihak Bank Muamalat, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Dr. Munir atas sumbangan dan khidmat beliau yang tidak ternilai kepada Bank Muamalat terutamanya dalam memimpin
pelaksanaan strategi baharu yang meletakkan Bank Muamalat pada landasan yang tepat untuk menyampaikan prestasi yang mampan,” katanya menerusi kenyataan itu.

Menurut Khairul, pihak pengurusan dan kakitangan Bank Muamalat sangat mengalu-alukan penyertaan Tajuddin sebagai ahli Lembaga Pengarah baharu.

Katanya, di bawah kepimpinan beliau sebagai pengerusi yang baharu, Bank Muamalat berhasrat untuk terus menerapkan budaya risiko pematuhan Syariah untuk menjadi penyedia perkhidmatan kewangan Islam pilihan di negara ini.

Tajuddin sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif /Pengarah Eksekutif Bursa Malaysia Berhad antara tahun 2011 hingga 2019.

Sebelum itu, beliau pernah menyandang jawatan pemimpin kanan di Kumpulan Perbankan RHB, Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan Bank Simpanan Nasional. – MalaysiaGazette