Anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memeriksa dokumen sebuah premis makanan pada Operasi Bersepadu Pemantauan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) ke atas premis makanan sekitar pentadbiran MBSA di Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 02 JUN 2020.

SHAH ALAM – Kedudukan meja terlalu rapat dan tidak menggunakan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) antara kesalahan segelintir pemilik premis kedai makan dan restoran.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) kini memasuki hari ke-30 di Selangor namun masih ramai pengunjung kedai makan dan restoran tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini termasuk gagal membuat pendaftaran dan mengimbas suhu pengunjung, duduk lebih empat orang dalam satu meja, tidak mengimbas Kod QR SELangkah dan bersesak-sesak di dalam premis.

Susulan ketidakpatuhan itu, beberapa kedai makan dan restoran telah dikenakan kompaun hingga membawa kepada penutupan premis dalam operasi bersepadu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Menurut Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan, sebanyak dua restoran makanan Islam di Seksyen 19 di sini diberikan masing-masing enam dan dua kompaun kerana didapati melanggar SOP PKPBD di Selangor.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Tuan Mohd Rashidi Ruslan (kanan) menampal notis penutupan premis pada Operasi Bersepadu Pemantauan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) ke atas premis makanan sekitar pentadbiran MBSA di Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 02 JUN 2020.

“Hari ini kita menutup dua premis perniagaan makanan yang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Kita juga menyemak dari segi kebersihan premis makanan tersebut, pendaftaran, pengambilan suhu badan pengunjung di premis dan penggunaan aplikasi yang telah dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Selangor iaitu SELangkah.

“Kita mewajibkan semua premis makanan untuk melaksanakan aplikasi untuk memastikan pengunjung yang masuk ke restoran mereka mendaftar QR Kod setiap kali mengunjung ke premis makanan ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang turus disertai anggota polis melihat kepatuhan pekerja sebuah premis makanan menjalankan prosedur operasi standard (SOP) ke atas pelanggan pada Operasi Bersepadu Pemantauan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) ke atas premis makanan sekitar pentadbiran MBSA di Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 02 JUN 2020.

Terdahulu beliau mengetuai Operasi Pemantauan Kedai Makan dan Restoran yang Ingkar PKPBD Selangor di sekitar kawasan Shah Alam termasuk Seksyen U1 hingga U6, Seksyen 1 hingga 14 dan Seksyen 15 hingga 25.

Operasi itu membabitkan seramai 94 anggota penguat kuasa MBSA, 32 anggota Jabatan Kesihatan MBSA dan 23 anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Menurut Mohd Rashid, kesemua kedai makan dan restoran melanggar SOP PKPBD diarahkan menutup operasi mereka untuk tempoh 14 hari.

Bagaimanapun mereka boleh beroperasi semula sekiranya boleh membuktikan pematuhan SOP itu dilakukan kepada pihak MBSA.

“Sekiranya mahu buka semula, mereka perlu menunjukkan tindakan dari segi pematuhan SOP dan akujanji kepada pihak MBSA supaya mereka benar-benar mematuhi.

“Sekiranya Jabatan Kesihatan MBSA berpuas hati dengan pelan tindakan selepas penutupan itu, baru kita benarkan ia dibuka semula,” katanya.

Selain tidak mematuhi PKPBD, kedai makan dan restoran makanan Islam itu juga didapati gagal memastikan premis bebas daripada makhluk perosak dan serangga.

“Hari ini ada lapan kompaun kesalahan dan premis diarahkan tutup pula di bawah Seksyen 18 (1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Selain pemilik premis, pengunjung juga boleh dikenakan kompauan sehingga RM1,000 sekiranya gagal mematuhi SOP yang ditetapkan KKM.

Ini termasuklah mengamalkan penjarakan sosial, tidak duduk lebih orang di meja ketika makan di kedai makan dan restoran serta tidak bersesak-sesak di dalam premis.

“Ada pemilik premis tidak berani nak tegur pengunjung kerana takut kehilangan pelanggan.

“Kompaun kita tidak kenakan hanya terhadap pemilik premis sahaja, contohnya di satu meja ada lebih dari 2 orang, di bawah penguatkuasaan kita boleh kenakan kepada pengunjung.

“Tapi tanggungjawab pemilik premis pastikan pengunjung-pengunjung mematuhi SOP tersebut seperti pengunjung tidak membawa kanak-kanak dan warga emas di mana berisiko tinggi terdedah kepada Covid-19 ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette