KUALA LUMPUR – Agrobank mengumumkan bulan Jun sebagai Bulan PKS Agrobank 2020, inisiatif untuk mengetengahkan kepentingan dan sumbangan besar komuniti PKS terutamanya pengusaha dalam bidang perniagaan agro kepada sumber pendapatan, masyarakat dan ekonomi.

Pelancaran ini diadakan bersempena dengan Hari Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Antarabangsa seperti yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 27 Jun setiap tahun.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, inisiatif ini juga memberi peluang kepada masyarakat luar untuk mengetahui dengan lebih baik bagaimana pelanggan PKS dalam rantaian bekalan makanan menghadapi lanskap perniagaan normal’ baru.

Program ini akan berjalan sepanjang bulan Jun dan akan menjadi platform untuk pihak bank lebih memahami keperluan pelanggan PKS dan sekali gus menyokong pengembangan perniagaan mereka secara berterusan.

Sepanjang bulan ini, Agrobank akan menyoroti kejayaan perniagaan agro PKS yang berjaya, video mengenai bagaimana PKS dalam perniagaan agro dapat menghadapi perubahan yang berlaku sepanjang tempoh Covid-19, sesi bimbingan untuk usahawan, forum dan promosi produk yang berkaitan dengan
PKS.

Khadijah menambah, walaupun Bulan PKS hanya untuk jangka waktu satu bulan, usaha dan inisiatif berterusan dilakukan sepanjang tahun untuk memastikan pelanggan PKS mendapat manfaat daripada pelbagai program dan produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh Agrobank pada
bila-bila masa. – MalaysiaGazette