Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Satu kes kluster baharu Covid-19 yang dikesan di sebuah pangsapuri di Cheras, Kuala Lumpur mungkin ada kaitan dengan ziarah Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama kluster baharu itu dikenalpasti daripada saringan pelajar pusat tahfiz yang telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun, melalui penyiasatan yang telah dijalankan, tiada pelajar, guru atau kakitangan dari pusat tahfiz tersebut yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.

“Sehingga kini, terdapat enam kes di dalam kluster ini iaitu tiga kes yang merupakan penghuni pangsapuri tersebut,dan tiga kes lain di luar kawasan pangsapuri,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Noor Hisham, kesemua mereka telah dikesan melalui tindakan pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection).
Menurut beliau, kes-kes positif kluster berkenaan adalah merupakan ahli keluarga dan rakan kepada kes pertama yang dikesan.

“Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan KKM namun besar kemungkinan penularan Covid-19 adalah berkaitan dengan aktiviti kunjung-mengunjung sebelum dan semasa Hari Raya Aidilfitri.

“Susulan itu, siasatan dan saringan kontak rapat bagi keenamenam kes tersebut telah dijalankan dan setakat ini seramai 120 orang telah dikenalpasti dan disaring yang mana enam kes positif Covid-19, 76 kes adalah negatif dan 38 kes masih menunggu keputusan.

“Selain tindakan Active Case Detection yang telah mula dilaksana di pangsapuri tersebut, beberapa langkah kawalan penularan jangkitan Covid-19 turut giat dijalankan.

“Kita membuat pengasingan kontak dan aktiviti persampelan, aktiviti nyah kuman dan nyah cemar, hebahan pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan jangkitan Covid-19 seperti amalan 3W dan elakkan 3S,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette