Lori sampah yang terbabas dalam cubaan mengelak dari anggota penguatkuasa MPS yang melakukan rondaan di tapak pembuangan sampah haram di Selayang. - Gambar ihsan MPS.

KUALA LUMPUR – Aktiviti membuang sampah di tapak pembuangan sampah haram semakin menjadi-jadi di beberapa lokasi dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Menyedari perbuatan itu, MPS meningkatkan penguatkuasaan dengan melakukan lawatan dan pemeriksaan secara mengejut di tapak yang dikenal pasti menjadi tumpuan pihak terbabit bagi mengekang kegiatan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam, sebuah lori yang membuang sampah di tapak pembuangan sampah haram di Kampung Sungai Pusu, dekat Gombak terbabas apabila cuba daripada ditahan sepasukan penguat kuasa MPS yang membuat pemeriksaan mengejut.

Walaupun pemandu lori berjaya melarikan diri, MPS berjaya mengesan pemilik lori berkenaan untuk dikenakan tindakan undang-undang. – Gambar ihsan MPS.

Walaupun, pemandu lori terbabit sempat melarikan diri namun MPS telah mengenal pasti pemilik kenderaan itu dan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 selain lori berkenaan disita.

Menurut Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad, sepanjang pemeriksaan dan rondaan dilakukan, pihaknya mengesan sekurang-kurangnya tiga lori melakukan kesalahan membuang sampah secara haram.

Katanya, tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 21 (sitaan) dan Seksyen 4 (kompaun) di bawah UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah MPS (2007).

“Penguatkuasa kita turut menahan sebuah lori di Jalan Ulu Yam selepas dikesan membuang sampah di kawasan tersebut dan tindakan sama diambil ke atas mereka.

“Laporan polis juga dibuat bagi memastikan individu atau syarikat terbabit dikenakan tindakan lanjuta di bawah peruntukan undang-undang yang ada.

“Kita memandang serius isu pembuangan sampah secara haram dan akan menjalankan pemantauan lebih ketat dari semasa ke semasa terutama di kawasan yang menjadi tumpuan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – MalaysiaGazette