Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri akan melancarkan Pelan Pemulihan Ekonomi (Jangka Pendek) tidak lama lagi yang memberi tumpuan kepada tiga matlamat utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsangkan ekonomi.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pelan ini bagi tempoh Jun hingga Disember 2020.

Pelan ini mengambil empat pendekatan iaitu mampu diperbaiki dan diperhalusi secara berterusan, mengikut keperluan semasa dan situasi tidak menentu, sepanjang tahun 2020; kerjasama sektor awam-swasta diutamakan – pelan ini akan merangkumi pelbagai langkah dengan kerjasama seramai mungkin pemain dari sektor swasta, dan bukan sahaja dari syarikat berkaitan kerajaan.

Selain itu, komunikasi menyeluruh dan capaian Meluas – rakyat dan sektor perniagaan di Malaysia haruslah meyakini pelan ini agar semua dapat memainkan peranan masing-masing bagi menjana semula ekonomi Malaysia dan pendekatan berdasarkan data – pelaksanaan pelan ini adalah berdasarkan data dan statistik agar setiap pencapaian dapat dipantau dan diperhalusi dengan cepat dan tepat.

Tengku Zafrul berkata, pandemik Covid-19 telah memberi cabaran kepada negara berdasarkan maklum balas yang diterima.

“Saya tidak berniat untuk memberi gambaran yang malap mengenai ekonomi negara. Namun, ini adalah realiti cabaran yang bakal dihadapi dan perlu ditangani oleh kerajaan dan kerjasama rakyat, sektor swasta, dan NGO menjadi amat penting dalam usaha ini,” katanya dalam laporan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat Prihatin.

Katanya, menurut kajian oleh Nielsen, lebih 40% pekerja yang disoal selidik melaporkan pengurangan pendapatan dalam tempoh PKP manakala Jabatan Perangkaan memaklumkan, cabaran utama yang dihadapi adalah membayar gaji (77%), kekurangan pelanggan (66%), membayar sewa premis (61%), dan masalah aliran tunai (36%).

Dalam sektor teknologi, pelantar pekerjaan mendapati bilangan pemohon pekerja semakin meningkat tetapi iklan pekerjaan semakin berkurangan; setiap 4 daripada 10 pekerjaan bergantung kepada industri pelancongan antara paling terkesan Covid-19; industri pendidikan tinggi bernilai RM35 bilion kepada ekonomi negara bakal menghadapi cabaran ekoran kekangan menarik pelajar antrabangsa; dan peniaga kecil seperti penjual kuih, peniaga pasar malam dan sebagainya tiada punca pendapatan yang tetap.

Walaupun 67% pekerja yang telah kembali bekerja, masih ada lebih kurang 5 juta pekerja pelbagai sektor yang belum memulakan pekerjaan, ini disebabkan, antara lain, kerana di dalam senarai aktiviti dilarang ataupun SOP yang ketat untuk memastikan faktor keselamatan dan kesihatan terjamin.

Menurut kajian Ipsos pula, dapatan menunjukkan bahawa 62% rakyat Malaysia sangat bimbang akan ancaman Covid-19 kepada diri mereka dan tahap kebimbangan ini adalah yang tertinggi di kalangan warga negara-negara lain.

Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia akan lebih berhati-hati dalam melaksanakan aktiviti harian, tapi ia secara tidak langsung akan memberi  kesan kepada sektor-sektor ekonomi seperti pelancongan dan perkhidmatan dan tempoh masa yang diperlukan untuk pulih kembali.

Selain itu, kerajaan juga peka kepada cabaran buat golongan mudah terjejas seperti kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya, warga emas dan golongan B40.

Tengku Zafrul berkata, Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek ini merupakan peluang negara untuk mengambil peluang-peluang baharu yang berbangkit daripada krisis Covid-19 ini demi pembangunan masa depan negara. – MalaysiaGazette