Penggambaran filem dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun ini dengan penetapan pematuhan SOP. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini memutuskan untuk membenarkan pengambaran filem beroperasi mulai 10 Jun ini.

Bagaimanapun, pihak yang terlibat mesti mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan sepanjang terlibat dalam aktiviti penggambaran filem.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka perlu menjaga penjarakan sosial, tidak dibenarkan berhimpun beramai-ramai dan mengamalkan kebersihan diri setiap masa.

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

“Mulai 10 Jun ini, semua produksi filem dan drama boleh mula membuat penggambaran tetapi dengan mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya sidang media khas pandemik Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Selain penggambaran, kata Ismail Sabri, urusan nikah kahwin rentas negeri juga dibenarkan dengan setiap pasangan berkenaan perlu mendapatkan kebenaran di balai polis berdekatan.

Kata beliau, mesyuarat bersetuju membenarkan rentas negeri bagi urusan akad nikah, dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan seperti tidak melebihi 20 orang, mengamalkan penjarakan sosial dan tidak salam bersalaman.

“Mesyuarat juga telah bersetuju dengan permohonan jurufoto perkahwinan untuk mula beroperasi hari ini. Bagaimanapun aktiviti ini terhad kepada penggambaran pra-perkahwinan dan akad nikah serta tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan.

“Sebarang majlis perkahwinan masih tidak dibenarkan,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Ismail Sabri lagi, keputusan bagi kedai gunting rambut, salon kecantikan, pasar malam dan pekan sehari akan dibincangkan Sabtu ini.

“Kita akan tengok SOP yang akan mereka bentangkan dahulu, sekiranya menetapi dengan peraturan Kementerian Kesihatan, satu keputusan membenarkan operasi atau sebaliknya, akan diputuskan.

“Begitu juga sembahyang jemaah, ada yang mencadangkan jumlah jemaah mengikut keluasan masjid dengan penjarakan sosial satu meter. Apa pun, kita serahkan kepada Menteri Hal Ehwal Agama untuk bentangkan Sabtu ini,” katanya. – MalaysiaGazette