Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia menerima sebanyak 170,000 rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang dikemukakan oleh perayu antara 11 hingga 31 Mei lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, rayuan ini akan disemak secara manual.

Keputusan akan diumumkan pada pertengahan bulan Jun dan bayaran secara sekali gus bermula pada akhir bulan Jun.

Dengan ini, jumlah penerima BPN dari kumpulan pertama hingga ketiga adalah dianggarkan dalam 10.77 juta, melibatkan peruntukan sebanyak RM11.5 bilion.

Ini merupakan peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 bilion.

Menurutnya, seramai 7.93 juta penerima fasa pertama telah menerima bayaran BPN berjumlah RM5.56 dan 7.90 juta penerima fasa kedua membabitkan sejumlah RM3.55 bilion.

Selebihnya adalah mereka yang belum lagi menuntut bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

”Sebagai peringatan, mereka boleh berbuat demikian sehingga 31 Disember,” ujar beliau ketika membentangkan laporan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat di sini, hari ini.

Tambahnya, pencapaian penerima bagi fasa pertama dan kedua ini adalah 96.5%.

Dalam pada itu, katanya, sehingga 31 Mei, sebanyak 4 juta permohonan pengeluaran i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diluluskan, iaitu peningkatan daripada 3.9 juta sebelum ini.

Jumlah pembayaran ini melibatkan RM1.9 bilion sebulan.

Mengenai langkah pengurangan caruman KWSP oleh pekerja daripada 11% kepada 7%, Tengku Zafrul berkata, jumlah pengurangan caruman yang dianggarkan akan diterima ahli KWSP untuk bulan Mei adalah RM895 juta.

Sehingga 31 Mei, kerajaan mendapati semakin ramai pekerja membuat pilihan sendiri untuk mengekalkan caruman mereka pada kadar 11%, iaitu seramai 1.7 juta atau lebih kurang 23% daripada pencarum KWSP berbanding dengan 1.5 juta sebelum ini. – MalaysiaGazette