Peguambela Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah hadir ke mahkamah bagi pendengaran hujahan lisan pada akhir kes pembelaan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Hujahan lisan pada akhir kes pembelaan SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masuk hari kedua hari ini yang terus menyaksikan pasukan pembelaan menyampaikan hujah.

Prosiding yang bermula lewat pagi ini berikutan ketua pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terpaksa menghadiri prosiding kes lain terlebih dahulu juga di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Sithambaram bangkit bangun dan bertanya berapa lamakah tempoh masa diperlukan oleh pembelaan sebelum pihaknya dapat memulakan hujahan penggulungan mereka.

Kata Sithambaram, beliau memerlukan sedikit masa untuk menyiapkannya berikutan mempunyai beberapa perkara perlu dibangkitkan olehnya kelak.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee memohon supaya mahkamah memberikan sekurang-kurangnya empat hari memandangkan ada pelbagai aspek yang perlu disentuh oleh beliau bagi membuktikan anak guamnya tidak bersalah.

Sebelum ini, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan empat hari untuk mendengar hujah lisan di akhir kes pembelaan sebelum memutuskan sama ada bekas perdana menteri itu akan disabitkan kesalahan atau dibebaskan.

Ketika ini, peguam bela Farhan Read memulakan hujahnya.

Najib yang tiba awal 10 minit sebelum kesnya bermula kelihatan tenang, ceria seperti biasa sambil menyapa beberapa orang di sekelilingnya sebelum kes bermula.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir ke mahkamah bagi pendengaran hujahan lisan pada akhir kes pembelaan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 JUN 2020.

Sebanyak 807 eksibit atau barang kes dikemukakan ke mahkamah dalam perbicaraan selama 91 hari bermula 3 April 2019 yang turut membabitkan nota prosiding kira-kira 6,000 muka surat. Sebelum ini, pihak pendakwaan mengemukakan 57 orang saksi.

Manakala perbicaraan pembelaan yang bermula 3 Dis tahun lepas selama 33 hari dan 19 saksi membabitkan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Prosiding sedang bersambung ketika ini di hadapan Mohd Nazlan. –MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mintak masa 4 hari.. Wow
    Bukti dh nyata ada black n white…
    Semoga Hakim dpt jln kn dgn adil

Comments are closed.