KUALA LUMPUR – Selain melanjutkan tempoh sah akaun kredit kepada dua tahun, AirAsia kini menawarkan pilihan lebih fleksibel untuk para tetamu yang bakal melakukan perjalanan hingga 31 Disember 2020 dengan mengecualikan bayaran penukaran penerbangan.

Tawaran ini sah untuk tempahan baharu yang dibuat antara 3 Jun 2020 dan 31 Oktober 2020.

Para penumpang boleh membuat penukaran tarikh penerbangan tanpa had melalui pautan ‘Tempahan Saya’ di airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia, dan boleh menempah semula penerbangan mereka untuk perjalanan hingga 31 Disember 2020, bergantung pada ketersediaan tempat duduk dan perbezaan tambang.

Bo Lingam, Presiden (Penerbangan) Kumpulan AirAsia berkata, syarikat penerbangan ini menawarkan lebih fleksibiliti untuk tempahan baharu supaya para penumpang boleh menempah penerbangan dengan yakin.

Katanya, AirAsia melanjutkan tempoh sah akaun kredit kepada 730 hari.

Penukaran tarikh/waktu penerbangan hanya tersedia untuk penerbangan sehingga 48 jam sebelum waktu perlepasan asal (sehingga empat jam untuk kod penerbangan AirAsia India i5).

Perkhidmatan tambahan seperti bagasi daftar masuk, makanan dan pilihan tempat duduk akan dimasukkan dalam tempahan penerbangan seterusnya.

Para penumpang mungkin perlu memilih semula makanan atau tempat duduk, bergantung pada ketersediaan penerbangan baharu.

Tawaran ini tersedia untuk semua penerbangan domestik di Malaysia (kod penerbangan AK), Indonesia (kod penerbangan QZ), Thailand (kod penerbangan FD), Filipina (kod penerbangan Z2) dan India (kod penerbangan i5), yang mana tempahan dibuat secara langsung dalam talian melalui airasia.com. – MalaysiaGazette