Petugas KKM bertanyakan beberapa soalan kepada mereka yang hadir membuat pemeriksaan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Kes penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat tempatan mencatatkan satu digit apabila hanya dua kes penularan wabak itu direkodkan hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dua kes itu melibatkan pusat tahfiz dan pasar borong.

“Ingin dimaklumkan daripada 93 kes baharu yang dilaporkan, semua kes adalah penularan di dalam negara, di mana 91 kes melibatkan bukan warganegara.

“(Sebanyak) 55 kes adalah dari Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan 36 kes dari Kluster Pedas. Hanya 2 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

“Tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara,” kata Noor Hisham pada sidang media di KKM, hari ini.

Wilayah Persekutuan menjadi wilayah tertinggi hari ini dengan 55 kes, Negeri Sembilan dengan 36 kes dan Selangor dengan dua kes.

Tiada kes positif di negeri-negeri lain di negara ini.

Dengan perkembangan itu menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 7,970 orang sehingga kini.

Daripada jumlah itu, 1,324 kes dikategorikan sebagai kes aktif yang boleh berjangkit.

Daripada jumlah tersebut, enam pesakit berada di unit rawatan rapi dengan dua daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Noor Hisham mengumumkan seramai 61 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 6,531 orang sehingga kini.

Bagaimanapun, tiada kes kematian direkodkan hari ini menjadi jumlah kematian kekal kepada 115 kes.

1 Komen

  1. Dahulu hangpa panggil orang2 DAP masuk masjid2/surau2 untuk berpolitik!

    Kini Allah SWT LOCKDOWN kesemua masjid2/surau2!

    CELAKALAH orang2 yang menyalahgunakan masjid2/surau2!

Comments are closed.