NEW YORK  – Majoriti rakyat Amerika bersimpati terhadap peserta-peserta tunjuk perasaan yang protes kematian seorang lelaki kulit hitam ketika dalam tahanan polis.

Mereka juga tidak bersetuju dengan cara Presiden Donald Trump mengendalikan isu tersebut, demikian menurut undian yang dijalankan oleh Reuters/Ipsos pada Selasa.

Demonstrasi yang mana bertukar menjadi keganasan bermula sejak minggu lepas apabila seorang pegawai polis Minneapolis melutut leher George Flyod selama hampir sembilan minit  menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.

Kejadian tersebut direkodkan dalam satu video dan polis berkenaan telah didakwa atas tuduhan membunuh.

Kaji selidik yang dijalankan pada Isnin dan Selasa mendapati 64 peratus rakyat Amerika dewasa “menzahirkan rasa simpati kepada peserta demonstrasi ketika ini” manakala 27 peratus lagi mengatakan mereka tidak simpati dan baki sembilan peratus tidak pasti.

Undian tersebut juga tidak memihak kepada kerjaya politik Trump yang telah menggunakan pendekatan keras terhadap peserta demonstrasi dan mengancam untuk menghantar pasukan ketenteraan bagi mengawal siruasi.

Presiden Republikan itu bakal berdepan dengan calon Demokrat Joe Biden pada pilihan raya Presiden November ini.

Lebih daripada 55 peratus rakyat Amerika berkata, mereka tidak bersetuju dengan cara Trump mengendalikan protes tersebut, ini termasuk 40 peratus yang sangat-sangat tidak bersetuju.

Hanya satu pertiga daripada rakyat Amerika yang bersetuju dengan Trump.

Satu undian berasingan oleh Reuters/Ipsos mendapati Biden mendahului Trump dalam kalangan pengundi berdaftar sebanyak 10 mata peratusan.

Angka tersebut merupakan margin terbesar sejak bekas Naib Presiden itu menjadi calon Presiden pada awal April lalu.

Jumlah pengundi bebas juga menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan Trump malah dalam kalangan Republican, hanya 67 peratus yang bersetuju dengan beliau.

Angka tersebut jauh lebih rendah berbanding keseluruhan prestasi kerjanya yang berada pada paras lebih 82 peratus.- MalaysiaGazette