Kamaruzaman Mohamad
Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pendedahan surat didakwa daripada Lim Guan Eng kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas adalah satu perkara yang serius.

Justeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) digesa segera membuka kertas siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan itu, kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad.

“Surat ini mencetuskan tanda tanya berkenaan kes membatalkan arahan pembekuan empat akaun bank milik seorang taikun. Bekas Peguam Negara itu pula bertindak atas permintaan Guan Eng dengan mengarahkan SPRM untuk melaksanakannya sekitar Mei 2019.

“Sekiranya isi kandungan surat ini benar, ia jelas menunjukkan Guan Eng menggunakan kedudukan beliau sebagai Menteri Kewangan dan hubungan dengan Tommy untuk melepaskan akaun milik taikun berkenaan.

“Pihak berkuasa diminta agar menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, portal berita Free Malaysia Today (FMT) melaporkan dakwaan bekas Menteri Kewangan itu mengarahkan Tommy melepaskan sekatan yang dikenakan ke atas akaun bank seorang pemaju hartanah.

Menurut laporan FMT, akuan bank pemaju hartanah terbabit dibekukan berikutan penyiasatan mengenai pengubahan wang dalam kes 1MDB.

Susulan itu, Tommy memberi maklum balas positif dengan mengarahkan SPRM untuk melepaskan 4 daripada 41 entiti dan individu yang akaunnya dibekukan berikutan siasatan kes 1MDB.

Katanya lagi, Pas memandang serius perkara ini memandangkan sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan memerintah, pelbagai kes khasnya terkait secara langsung dengan DAP dan bekas Menteri Kewangan itu yang digugurkan.

“Sebelum ini, bekas Peguam Negara telah menggugurkan kes bekas Menteri Kewangan itu berkaitan tuduhan rasuah banglo oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

“Pas menggesa satu tindakan susulan harus dilakukan pada kadar segera bagi melihat sebarang unsur menutup kes tertentu.

“Ini sudah pastinya membuka jalan kepada unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa semasa mereka menerajui kerajaan sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette