Azhar (kiri) ketika mengunjungi Annuar di Kementerian Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan dengan langkah kementerian membekukan lesen aktiviti pengeluaran dan penjualan arak.

KUALA LUMPUR – Pas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyambut baik dan menyokong usaha dilakukan tiga kementerian dalam mengambil langkah serius terhadap kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk serta bawah pengaruh alkohol.

Pesuruhjayanya, Azhar Yahya berkata, tindakan diambil Kementerian Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) dan Kementerian Pengangkutan sangat dihargai serta disokong sepenuhnya.

Beliau menganggap tindakan itu amat sesuai dan patut dilakukan oleh tiga kementerian berkenaan dengan mengambil kira keadaan terkini dalam negara, yang mana kemalangan jalan raya melibatkan pemanduan bawah alkohol meningkat mendadak dan amat membimbangkan.

“Lebih menyedihkan lagi, sikap tidak bertanggungjawab pemandu mabuk ini menyebabkan kehilangan banyak nyawa mereka yang tidak berdosa dan keluarga mangsa pula kehilangan tempat bergantung.

“Ini berlaku disebabkan oleh lesen bagi aktiviti pengeluaran dan penjualan minuman keras seolah dikeluarkan secara tidak terkawal, menyebabkan aktiviti meminum minuman keras tidak dapat dibendung.

“Akibat daripada aktiviti itu, akhirnya membahayakan nyawa mereka yang tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, semalam.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menegaskan kementerian akan membekukan semua lesen aktiviti pengeluaran dan penjualan arak sehingga satu garis panduan diwujudkan dan semakan perundangan dilakukan oleh pihaknya.

Sementara itu, Datuk Takiyuddin Hassan yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) turut dilaporkan berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas berhubung kes kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk.

Katanya, beliau akan memastikan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dibawa ke Parlimen secepat mungkin, selain mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes itu disiasat bawah Kanun Keseksaan termasuk Seksyen 302 yang menyebabkan kematian dengan sengaja atau di bawah Seksyen 307, cubaan membunuh dengan niat.

Beliau juga mencadangkan agar pihak keluarga dan waris yang kehilangan tempat bergantung akibat kemalangan disebabkan pemandu mabuk dapat membuat tuntutan bagi menuntut hak mereka di sisi undang-undang.

Manakala Kementerian Pengangkutan pula akan meneliti dan menyemak semula cadangan berkaitan Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya yang melibatkan kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol.

Kementerian itu menerusi menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong telah menjalankan kajian soal selidik dengan mendapatkan pandangan dan maklum balas dari orang ramai berkenaan perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan berkaitan masalah pemanduan bawah pengaruh alkohol.

Beliau juga akan meminta pandangan maklum balas dan cadangan dari orang ramai berkaitan hukuman yang perlu dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah memandu secara mabuk. – MalaysiaGazette