MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terus berteka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila memberi bayangan terbaharu bahawa ia mungkin diadakan selepas “empat kali Jumaat”.
Bercakap di hadapan hampir 5,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau hari ini, beliau secara berseloroh memberikan jawapan itu ketika menyentuh persoalan mengenai tarikh PRN negeri berkenaan.
“Orang tanya Datuk bila nak buat pilihan raya, saya kata empat kali Jumaat, apa yang pening kepala sangat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) peringkat DUN Ayer Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia, Masjid Tanah, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Bagaimanapun, Ab Rauf tidak memperincikan maksud “empat kali Jumaat” itu atau menyatakan tarikh sebenar PRN Melaka.
Menurutnya, pilihan raya hanya akan diadakan selepas segala gerak kerja membantu rakyat yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri diselesaikan.
“Masih ada lagi kerja-kerja berbaki yang belum kita selesaikan. Rumah orang susah kita kena betulkan. Yang tiada rumah kita carikan perumahan baharu untuk rakyat.
“Yang sakit terlantar kita perlu berikan bantuan, yang perlukan bantuan pendidikan kita cari dan asuh mereka,” katanya.
Ab Rauf turut mengingatkan wakil rakyat bahawa tanggungjawab mereka bukan mencari projek untuk kepentingan atau kemewahan peribadi.
Sebaliknya, beliau berkata, di bawah pentadbirannya, semua wakil rakyat termasuk barisan Exco kerajaan negeri perlu turun padang bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah rakyat.
“Kejayaan WRUR bukan terletak sebanyak mana Dewan Undangan Negeri (DUN) dikunjungi, tetapi sebenarnya satu demi satu masalah rakyat dapat diselesaikan, satu demi satu beban rakyat dapat dikurangkan,” katanya.
Menurut Ab Rauf, sebanyak 58 program disusun sempena WRUR DUN Ayer Limau kali ini merangkumi aspek kebajikan, pembangunan, pendidikan, belia, keusahawanan dan penyelesaian isu setempat. – MalaysiaGazette
















