SEBAHAGIAN pelajar Malaysia di Sudan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

KUALA LUMPUR- Kes Covid-19 semakin membimbangkan di Sudan di mana jumlah pesakit positifnya tinggi terutama di wilayah Khartoum.

Angka berkenaan bukan sahaja merisaukan penduduk Sudan malah tempiasnya juga kepada pelajar Malaysia yang berada di negara berkenaan.

Malah menurut sumber, 12 daripada kesemua 17 pelajar kita yang tinggal di Rumah Ettihad Malaysia di sana dilaporkan tidak sihat sejak kebelakangan ini.

Jumlah pelajar Malaysia dianggarkan kira-kira 45 orang namun penempatan mereka berasingan di negara itu.

Antara gejala yang dialami oleh pelajar yang tinggal di Rumah Ettihad termasuk demam, batuk, sakit kepala, sakit tekak, hilang deria rasa dan kelesuan.

Sehingga hari ini, beberapa pelajar yang menunjukkan perubahan semakin pulih daripada demam tetapi masih lesu.

Difahamkan, wakil ketua rumah telah menghubungi pihak hospital yang menguruskan bencana Covid-19 di Khartoum dan setakat ini mereka dinasihatkan untuk terus kuarantin di kediaman selama 14 hari.

Bagaimanapun sekiranya memerlukan, pihak berkuasa di negara berkenaan akan menghantar ambulans untuk membawa mereka ke hospital untuk menerima rawatan.

Rata-rata pelajar Malaysia di Sudan belajar atas biayai sendiri dan mereka sudah membuat rayuan kepada Kementerian Luar Negeri di Malaysia untuk membawa mereka pulang ke tanah air namun ia masih belum menerima sebarang respons setakat ini.

Ternyata keadaan itu menyebabkan ibu-bapa di Malaysia mengalami kerisauan dan berharap kerajaan dapat bekerjasama dengan Sudan bagi menguruskan penghantaran pulang pelajar terbabit.- MalaysiaGazette