Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Sayap Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Pergerakan Wira Putra mengecam keras tindakan sebuah kilang perusahaan antarabangsa yang berpangkalan di Kuantan, Pahang memecat hampir 1,000 pekerja yang kebanyakannya warga tempatan.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, tindakan pengurusan kilang itu jelas melanggar akta pekerja apabila memberi notis jangka pendek kepada semua pekerja mereka tanpa sebarang alasan munasabah.

“Kita amat berdukacita dengan kes pemecatan ini dan lebih jelik tempat warga tempatan yang dipecat itu diganti pekerja warga asing, sekaligus cubaan menidakkan hak rakyat tempatan untuk bekerja di kilang berkenaan.

“Kami faham kerajaan memerlukan pelaburan luar bagi kelangsungan ekonomi, tetapi tindakan kilang ini sangat tidak wajar kerana menyebabkan warganegara merempat di bumi sendiri,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Isnin lalu, media melaporkan, hampir 1,000 pekerja sebuah perusahaan antarabangsa di Kuantan membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) kerana diberhentikan kerja dengan notis 24 jam antara 21 dan 30 Mei lalu.

Wakilnya, Muhammad Shafiq Ashraf Marzelan, 28, dilaporkan berkata, mereka mengemukakan aduan tersebut bagi mendapatkan pembelaan kerana mendakwa pemberhentian 24 jam itu menjejaskan pendapatan sekali gus memberikan tekanan kepada mereka.

Nasrul Ali Hasan menyarankan kerajaan agar membantu mereka ini mendapatkan pekerjaan di beberapa sektor yang masih beroperasi di negeri itu.

Katanya, cukuplah sebelum ini ramai yang mengambil kesempatan dengan membawa masuk pekerja asing sehingga berlaku lambakan dalam negara.

“Ibarat anak kera disusukan, anak sendiri mati kelaparan kerana sifat mata duitan dan tamak syarikat mengaut keuntungan sehingga lupa mengenai pembangunan rakyat tempatan.

“Pihak perusahaan boleh berbincang terlebih dahulu dengan pekerja atau memberi notis dengan tempoh sewajarnya serta pampasan yang sesuai sementara bekas pekerja memperoleh pekerjaan baharu,” katanya.

Beliau juga menggesa JTK dan Kementerian Sumber Manusia tidak diam berpeluk tubuh sahaja, sebaliknya bangkit membantu rakyat tempatan yang kehilangan mata pencarian. – MalaysiaGazette