Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Sebanyak 277 kes baharu Covid-19 dilaporkan setakat ini dengan hanya empat daripadanya merupakan penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 271 kes yang direkodkan adalah penularan dalam kalangan bukan warganegara manakala dua kes adalah import daripada warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia kini adalah sebanyak 8,247 dan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 1,573 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 270 kes dalam kalangan bukan warganegara adalah daripada Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil di mana ia merupakan sampel ulangan bagi orang kena tahan (OKT) yang dikuarantin.

Mereka telah terdedah kepada kes positif sebelum ini manakala satu kes bukan warganegara adalah saringan tapak pembinaan di Pudu, katanya.

Tambah Noor Hisham, sehingga kini sebanyak enam kes positif Covid-19 sedang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan dan jumlah kumulatif kes kematian wabak itu masih kekal 115 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dalam pada itu Noor Hisham berkata, sebanyak 28 kes telah pulih dan dibenarkan keluar wad hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,559 kes atau 79.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette