Derek Chauvin

MINNESOTA – Bekas pegawai polis Minneapolis yang menekan leher George Floyd menggunakan lutut didakwa hari ini dengan pertuduhan membunuh tahap kedua.

Manakala tiga lagi anggota polis yang berada di tempat kejadian semasa pembunuhan itu didakwa membantu dan bersubahat.

“Pertuduhan ini bagi memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga, komuniti dan negeri ini,” kata Peguam Negara Minnesota, Keith Ellison.

Pendakwaan itu diumumkan selepas lebih seminggu Floyd, seorang kulit hitam mati ketika dalam tahanan di Minneapolis hingga mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara.

Tunjuk perasaan itu mendesak agar penindasan oleh polis ke atas warga negara kulit hitam dihentikan.

Derek Chauvin, yang menekan lutut ke leher Floyd selama hampir sembilan minit, sebelumnya didakwa dengan pembunuhan tahap ketiga dan membunuh tanpa niat tahap dua.

Dari kiri J Alexander Kueng, Thomas Lane dan Tou Thao.

Tuduhan pembunuhan darjah kedua itu membawa maksud Chauvin membunuh Floyd “tanpa niat” ketika melakukan serangan pada tahap ketiga, menurut aduan yang telah dipinda.

Thomas Lane dan J. Alexander Kueng, yang membantu menahan Floyd, dan Tou Thao, yang berdiri berdekatan dengan yang lain, pada mulanya tidak didakwa.

Lane, 37, Kueng, 26, dan Thao, 34, kini dituduh membantu dan bersubahat dengan pembunuhan tahap kedua dan membantu serta bersubahat dengan pembunuhan tahap dua.

Chauvin, 44, ditahan minggu lalu dan wang jaminannya dinaikkan kepada AS$1 juta.

Lane, Kueng dan Thao juga ditahan dengan jaminan AS$1 juta.

Pembunuhan tahap kedua dan membantu serta bersubahat melakukan tahap kedua boleh dihukum penjara sehingga 40 tahun.

Pembunuhan tanpa niat, membantu dan bersubahat pula boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun. – MalaysiaGazette