Che Nah melayan pelanggannya selepas menerima lesen sementara yang diberikan oleh Tan Sri Annuar Musa di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur disaran supaya tidak menyulitkan urusan permohonan lesen menjaja atau berniaga untuk warga kota yang mahu mencari rezeki sekarang dan juga pasca Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia bagi memudahkan warga kota yang mahu mencari rezeki di sebalik cabaran mengharungi tempias Covid-19 yang telah menjejaskan punca pendapatan mereka.

Katanya, penyerahan lesen menjaja beredar kepada peniaga makanan seperti Che Nah Nasi Dagang hari ini adalah isyarat bahawa semakin ramai yang hilang kerja dalam keadaan mencabar di bandar raya mahu menambah pendapatan.

“Yang saya risau orang duduk di KL tidak mahu kerja. Kalaulah boleh mencari rezeki silakan, dan DBKL boleh mempermudahkan mereka yang mahu berniaga cari pendapatan, tapi saya harap janganlah macam nak menghalau ‘ayam jelusong’, lagi pun peniaga juga perlulah bekerjasama dengan bandar raya menjaga kebersihan, kesihatan peraturan KKM dan penjarakan sosial.

“Saya percaya bila kita buat sebegitu ia akan menggalakkan ramai lagi nak menambah pendapatan di KL akan dapat manfaat tanpa kekangan bersyarat bermacam-macam.

“Saya boleh lihat rakyat suka patuh pada peraturan kerajaan. Yang masalahnya ialah seperti rakyat lawan kerajaan, itu bukan tugas kerajaan yang mana kita hanya mahu bantu rakyat permudahkan segala urusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan lesen penjaja beredar kepada Che Nah Nasi Dagang di Jalan Medan Setia Bukit Damansara di sini.

Menurut Annuar, pegawai dan penguatkuasa DBKL dibawah penyeliaannya dimaklumkan supaya tidak menyulitkan urusan berkaitan perniagaan dan permudahkan segala urusan dengan duduk berbincang kepada orang yang datang tanpa menghalau mereka.

Katanya, beliau pernah melihat ada sekumpulan peniaga digelar ‘penjaja rambo’ sekali yang ‘sekali datang sekali halau’, dan keadaan itu tidak sepatutnya berlaku di mana mereka dilayan seolah-olah gerila komunis.

DBKL, kata Annuar, perlu memulakan cara dan syarat baharu di mana beliau sendiri akan bertemu dengan golongan belia yang berniaga termasuk peniaga berbangsa Tionghua dan India seperti di Little India Brickfields supaya dapat disediakan kiosk tepi jalan yang teratur dan sedap mata memandang.

“Kalau warga kota ingin bekerja secara halal dan betul, kami menggalakkan mereka  menceburi bidang perniagaan, mungkin mula kecil dengan warung burger sebagainya, tetapi perlulah bekerjasama dengan bandar raya tempat sesuai dan tak halang orang ramai, trafik serta menjaga kebersihan.

“Jika segala peraturan ini dipenuhi kita menggalakkan mereka dan Che Nah contoh seorang peniaga berdisiplin walaupun hidup susah suami meninggal tapi gigih berniaga membawa trak sendiri.

“Tidak lama lagi kita akan mengumumkan beberapa tempat yang dikenal pasti untuk membantu peniaga sebegini termasuk di dalam supermarket yang mana lebih 103 lot niaga ada kekosongan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Eloklah disediakan infrastruktur lengkap dan sistematik untuk penjaja2 ini. Ia memudahkan kerja pengurusan, maintenance, pengawalan jangkitan, pengawalan wabak dimasa akan datang!

Comments are closed.