Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan projek pembinaan diarah tutup oleh Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ekoran tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) di tapak pembinaan.

Kesemua projek itu adalah di Jalan Damai Kampung Dato Keramat; Mukim Batu, Kuala Lumpur (Sentul); Taman Pknk Jalan Tun Razak Bandar Alor Setar, Kedah; Bandar Alor Setar, Daerah Kota Setar; Mukim Kuah, Langkawi; Mukim Pulai, Daerah Baling;
Genting Permai Mukim Bentong Daerah Bentong, Pahang dan
Bandar Tun Razak Jengka, Maran.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara ketidakpatuhan yang dilakukan adalah tidak menjalani ujian saringan Covid-19 kepada pekerja, tidak mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh MKN serta 90 peratus kepatuhan SOP tidak dipraktikkan.

Perkara lain yang turut tidak dipatuhi iaitu, tiada pasukan Covid-19 yang bertanggungjawab memastikan pematuhan SOP selain kontraktor yang menjalankan projek tidak berdaftar dengan CIDB.

“Kementerian Kerja Raya menyeru semua kontraktor agar mematuhi contoh amalan terbaik pematuhan SOP supaya lebih banyak projek pembinaan dapat mula beroperasi sepenuhnya dan memberi impak positif kepada ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Fadillah berkata, sejak 20 April sehingga 2 Jun lalu, CIDB telah
memeriksa sebanyak 6,363 tapak pembinaan di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak 1,398 atau 22 peratus telah mula beroperasi, manakala 4,965 atau 78 peratus belum lagi menjalankan operasi masing-masing.

“Dari sejumlah 1,398 tapak yang telah beroperasi, sebanyak 1,118 80 peratus didapati mematuhi SOP, sementara 272 19 peratus didapati tidak patuh dan diberi amaran dan 8 atau 1peratus tapak pembinaan telah diarah tutup,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, penggiat industri pembinaan mempunyai tanggungjawab penting dalam memastikan semua SOP berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi bagi menjamin keselamatan pekerja dan mengelak penularan jangkitan Covid-19 di tapak pembinaan serta kawasan persekitarannya. – MalaysiaGazette