Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan ke atas penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar kawasan Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Selepas 13 hari berturut-turut tidak ada kematian akibat Covid-19, terdapat satu kes dilaporkan pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-116 itu membabitkan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit barah buah pinggang.

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 29 Mei 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 4 Jun (semalam) jam 10.20 malam.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 116 kes atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, sebanyak 51 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah dibenarkan keluar wad adalah sebanyak 6,610 kes atau 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, sehingga pukul 12 tengahari hari ini, terdapat 19 kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif wabak itu adalah sebanyak 8,266 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,540 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” ujarnya.

Tambah Noor Hisham, daripada 19 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala, daripada 12 kes penularan di dalam negara pula, tiga kes adalah bukan warganegara dan sembilan kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

Jelas beliau, sehingga kini, sebanyak enam kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu satu kes memerlukan bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette