Sesi persekolahan akan dimulakan selepas dua minggu kerajaan mengumumkan boleh beroperasi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan mengeluarkan pelaksanaan garis panduan dan mengambil beberapa langkah sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan yang akan dimulakan dua minggu selepas kerajaan membuat keputusan membenarkan sekolah beroperasi.

Menurut satu kenyataan, garis panduan dan langkah itu bagi memastikan pengurusan sekolah dan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) boleh beroperasi dengan lancar.

Semua sekolah perlu mematuhi peraturan ditetapkan, dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memantau pelaksanaan pengurusan sekolah di negeri serta daerah masing-masing.

Menurut kenyataan itu, setiap pegawai bahagian di Kementerian Pendidikan, JPN, PPD, pentadbir dan guru perlu mengambil kira langkah pelaksanaan itu bagi mengawal penularan jangkitan penyakit Covid-19.

“Garis panduan ini terpakai kepada semua sekolah rendah dan menengah termasuk Kolej Vokasional dan Kolej Tingkatan Enam bawah kementerian, dan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan kementerian.

“Sekolah persendirian dan institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan juga disarankan merujuk garis panduan yang dikeluarkan,” kata kenyataan itu kepada media.

Semua sekolah dan institusi Pendidikan ditutup berikutan kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Mac lalu dan dilanjutkan kepada beberapa fasa termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula sejak 4 Mei 2020.

Bagaimanapun, kementerian telah mengeluarkan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 3 Tahun 2020: Garis Panduan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran ketika PKP akibat penularan pandemik Covid-19 pada 27 Mac bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas.

Berikutan itu, kementerian telah membuat beberapa sesi libat urus bersama agensi berkepentingan serta pemegang taruh berkenaan pengurusan sekolah dalam menghadapi Covid-19.

Garis panduan pengurusan sekolah dan disimulasikan kebolehlaksanaan yang dikeluarkan itu telah mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara serta Jabatan Perdana Menteri.

“Kementerian akan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dibuka. Ini bagi memastikan pengurusan sekolah dapat membuat persediaan dengan memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan murid, guru serta warga sekolah.

“Penjagaan kesihatan dan amalan penjarakan sosial adalah penting dalam pengurusan sekolah bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah.

“Objektif garis panduan ini untuk memastikan pengurusan sekolah dan asrama dilakukan lebih teratur dan lancar, keselamatan dan kesihatan murid, guru dan warga sekolah diutamakan ketika berada di sekolah dan asrama serta proses PdP berlaku dalam keadaan selamat,” kata kenyataan itu.

Sebelum itu, pentadbir perlu memastikan sekolah berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi, murid, guru dan warga sekolah yang hadir mesti sihat dan selamat serta memberikan penerangan dan pendidikan berterusan mengenai penularan jangkitan Covid-19.

Setiap mereka perlu mencuci tangan, menggunakan pensanitasi tangan, memakai pelitup muka apabila perlu serta kepentingan amalan penjarakan sosial, murid mendapat akses kepada PdP dengan sokongan dan kerjasama JPN, PPD, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan agensi berkaitan.

Guru pula perlu menyediakan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) seperti digariskan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1999, Penyediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran, melaksanakan PdP bersesuaian dengan kesediaan murid dan situasi semasa.

Ibu bapa dan penjaga mesti memastikan anak atau anak jagaan mereka berada dalam keadaan sihat, menjaga kebersihan diri dan tidak menunjukkan gejala awal Covid-19 sebelum hadir ke sekolah.

Pihak sekolah turut diberi kelonggaran dengan waktu persekolahan boleh dilaksanakan secara berperingkat setelah mendapat kelulusan pendaftar negeri, tetapi sebarang perhimpunan dan aktiviti lain melibatkan murid, guru atau warga sekolah berkumpul secara beramai-ramai tidak dibenarkan sama sekali. – MalaysiaGazette