Pengguna pengangkutan awam di bawah Prasarana menikmati pas perjalanan tanpa had hanya dengan RM30 sebulan.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Program MY30 bagi meringankan bebas kos pengangkutan rakyat bukan sahaja untuk ke tempat kerja malah bagi aktiviti-aktiviti lain.

Menerusi program itu, katanya, pengguna hanya perlu membayar RM30 sebulan untuk menikmati pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembang Klang.

Beliau berkata, inisiatif tersebut terbuka kepada semua warganegara dan akan berkuatkuasa mulai 15 Jun hingga hujung 2020.

“Saya ingin mengingatkan saudara-saudari supaya mematuhi SOP dan mengamalkan penjarakan sosial ketika menggunakan pengangkutan awam,” katanya dalam Perutusan Khas Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung hari ini.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut menyentuh tentang keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan kumpulan sasar seperti Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Katanya, lebih 300,000 OKU dan ibu tunggal yang tersenarai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat layak menerima bantuan one-off sebanyak RM300 bagi mengurangkan beban mereka.

“Bayaran ini InshaAllah akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha. Kerajaan juga akan memperuntukkan geran kepada pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette