Temuduga secara bersemuka bukan lagi pilihan bagi membendung penularan pandemik Covid-19. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Pandemik COVID-19 bukan sahaja mengubah tingkah laku pengguna dalam berbelanja, malah membawa transformasi dalam pasaran kerja pada masa ini.

Data daripada platform pengambilan pekerja dalam talian, MauKerja.my mendapati kebanyakan majikan mencari individu untuk mengisi jawatan bekerja separuh masa dan pekerjaan sepenuh masa berasaskan dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ray Teng berkata kerajaan perlu memberi perhatian terhadap trend seumpama ini dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang akan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini.

“Mengambil kira situasi mencabar yang dijangka berterusan di Malaysia dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kami berharap kerajaan akan membantu pencari kerja dengan memberi galakan dan menyediakan insentif kepada syarikat untuk mempercepatkan proses pengambilan,” katanya kepada Bernama TV baru-baru ini.

Teng berkata 30 peratus daripada syarikat di platform MauKerja.my masih aktif menjalankan proses pengambilan, namun, menurutnya muncul trend pekerjaan baharu apabila syarikat terbabit mula meneroka kaedah baharu dalam menjalankan perniagaan.

Jelasnya, sebelum ini, majikan mengambil pekerja untuk kedai fizikal, namun, kini kebanyakannya mencari individu yang boleh membuat jualan dan pemasaran menerusi ‘Facebook Live’ dan platform dalam talian yang lain.

“Bekerja secara dalam talian memerlukan pekerja diberi kemahiran semula dan dilatih semula untuk mengendalikan persekitaran dan teknologi baharu,” katanya.

Teng berkata apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan pada Mac lepas, jumlah pekerjaan yang disenaraikan dalam platform pengambilan pekerja dalam talian itu telah merosot sebanyak 70 peratus, namun pasaran kerja mula mengalami perubahan pada Mei.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif GoGet, Francesca Chia Xiat Lin berharap kerajaan akan terus menyediakan langkah-langkah komprehensif untuk membantu syarikat memulakan dan mengekalkan aktiviti perniagaan mereka, di samping merangsang pertumbuhan penggunaan swasta.

“Perlu ada kaedah untuk merendahkan kos sara hidup rakyat, khususnya membabitkan keperluan asas bagi membolehkan rakyat membelanjakan pendapatan boleh guna mereka untuk menyokong sektor-sektor yang menghadapi cabaran termasuk pemula niaga dan perusahaan kecil dan sederhana di negara ini,” kata Chia.

— BERNAMA