Diantara pegawai dan anggota PDRM yang terlibat pada Majlis Penyerahan Kenderaan Peronda Baharu PDRM yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 05 JUN 2020

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menerima sebanyak 30 buah kenderaan peronda baharu model Honda Civic 1.8, daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Majlis penyerahan kenderaan tersebut dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mewakili PDRM.

KDN memaklumkan, peruntukan mengurus tahun 2020 telah diluluskan untuk membuat sewaan kenderaan peronda polis (MPV) secara konsesi dengan syarikat Spanco Sdn. Bhd. selama lima tahun.

Pembekalan kesemua 425 buah MPV lagi dijadualkan selesai pada minggu ketiga Julai tahun ini.

“Kesemua kenderaan akan dilengkapi dengan peralatan sokongan seperti peralatan komunikasi RMPNet, MPV Kit dan peti simpanan serta dua unit Dashcam dan Mobile DVR.

“Selain itu, PDRM juga akan menerima sebanyak 850 buah MPV bagi tujuan penggantian kenderaan sedia ada meliputi 197 buah model kenderaan Proton x70 1.8 dan 653 buah model kenderaan Honda Civic 1.8. Pembekalan akan bermula pada Julai 2020 dan selesai pada September nanti,” katanya.

Pembekalan kenderaan peronda baharu yang dilengkapi dengan teknologi terkini itu akan dapat meningkatkan lagi kecekapan PDRM dalam melaksanakan tugasan.

Sementara itu, Abdul Hamid ketika ditemui selepas majlis kenderaan berkata, pihaknya sangat berterima kasih kepada kerajaan yang sangat prihatin terhadap keperluan mendesak dihadapi PDRM.

Katanya, penerimaan aset kenderaan itu sememangnya diperlukan memandangkan kenderaan MPV yang digunakan oleh PDRM ketika ini sudah usang ditambah pula dengan kos penyenggaraan yang tinggi.

“Sudah lama kita mohon saya ingat dalam dua tahun lalu.

“Penerimaan aset ini diharap mampu membolehkan PDRM menjalankan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette