PETALING JAYA – Geng Vasu Kepong, kumpulan penjenayah yang bergiat aktif dalam jenayah pecah kedai dan mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang berjaya ditumpaskan polis.

Kejayaan itu menyusul dengan tertangkapnya lapan suspek lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam semua kegiatan itu menerusi satu serbuan polis pasukan Petaling Jaya dan Bukt Aman di sebuah lot parkir Taman Teratai Mewah Setapak dan di Kepong, Kuala Lumpur pada 3 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan dan penahanan suspek pertama itu dijalankan sekitar jam 3.30 petang bertindak atas maklumat awam.

“Hasil serbuan, polis berjaya menahan suspek lelaki berkenaan yang disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah kedai dan mencuri kenderaan di sekitar Lembah Klang.

“Hasil soal siasat ke atas tangkapan itu berjaya membawa kepada beberapa serbuan susulan polis di Desa Aman Puri dan Taman Ehsan Kepong.

“Hasilnya, polis juga berjaya membuat tangkapan tujuh lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat sama dalam kes pecah kedai dan curi kenderaan sekitar Lembah Klang,” katanya kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, soal siasat lanjut ke atas kesemua suspek polis berjaya menemui pelbagai jenis barang disyaki hasil kegiatan jenayah tersebut.

Menurut beliau, kesemua suspek kini ditahan reman selama 7 hari dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan ke atas suspek untuk melihat penglibatan suspek terutama dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di kawasan Petaling Jaya.

“Kesemua suspek tempatan itu berumur lingkungan antara 22 hingga 36 tahun dan enam daripada mereka mempunyai rekod lampau 17 kes dadah dan 4 kes jenayah dan dikehendaki polis manakala dua suspek masing masing berusia 22 dan 27 tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Dalam pada itu, semasa serbuan ke atas kesemua lapan suspek itu di Kepong, polis berjaya merampas barang dan senjata tajam dipercayai digunakan untuk perbuatan jenayah selama ini.

“Polis berjaya merampas 8 telefon bimbit pelbagai jenama, 4 buah kenderaan iaitu sebuah kereta Suzuki Swift merah, Proton Wira, Proton Perdana dan Proto Wira 1.3 GL Kelabu yang kesemuanya bersabit laporan hilang bawah 379A Kanun Keseksaan, sekeping nombor pendaftaran kenderaan, satu beg plastik berisi 75 unit cermin mata.

“Polis turut merampas satu beg berwarna coklat bertulisan LV milik suspek yang mengandungi sekeping kertas KWSP, satu kad Touch nGo, sekeping kad akses, sekeping kad ATM Public Bank, kunci kereta kawalan jauh berlogo Suzuki, seutas rantai,satu helmet SGV, lima batang kunci proton, sebuah dompet yang mengandungi dua kad ATM bank CIMB dan Public, kad subsidi minyak Cultex Journey, dan MyKad.

“Hasil semakan ke atas kad pengenalan milik penama mendapati mempunyai laporan polis kehilangan di Petaling Jaya, selain dirampas dari suspek seunit televisyen jenama Samsung 32 inci hitam dan satu batang besi kuku kambing bengkok dipercayai digunakan untuk jenayah,” katanya lagi.-MalaysiaGazette