Bilang dibenarkan solat Jumaat mungkin bertambah sebaik kerajaan berouas hati dengan SOP dibentangkan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih meneliti cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk mendapatkan kelonggaran bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Menterinya, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah membentangkan cadangan itu pagi ini.

Menerusi cadangan itu, kata beliau, Menteri meminta agar kapasiti yang dibenarkan untuk solat berjemaah dan solat Jumaat ditambah berbanding sebelum ini hanya 30 orang.

“Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Dalam Negara (MKN) akan melihatnya lebih terperinci, terutama melibatkan keluasan masjid berkenaan.

“Kita tidak ada masalah untuk melonggarkan syarat itu, asalkan mematuhi penjarakan sosial.

Ismail Sabri Yaakob

Malah, kalau masjid itu besar dan luas, mungkin boleh memuatkan 100 hingga 200 jemaah untuk menunaikan solat. Tidak ada masalah,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, menurut Ismail Sabri, kerajaan juga akan meneliti beberapa lagi cadangan yang dikemukakan, antaranya dari Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Perpaduan Negara.

Katanya, antara cadangan yang diambil kira ialah kebenaran operasi aktiviti memancing di kolam dan bot membawa pelancong memancing di laut.

“Semua cadangan ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri dan keputusannya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Beliau menjelaskan, kerajaan faham masalah ekonomi yang dihadapi pengusaha kolam memancing dan pengusaha bot pelancongan, tetapi mereka harus bersabar kerana kerajaan juga mempunyai tanggungjawab memastikan semua pihak selamat dari penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast