Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat persiapan sebelum menjalani saringan Covid-19 kepada setiap penghuni berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Besyarat (PKPB) bagi membendung wabak Covid - 19 di Flat Sri Selangor, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 MEI 2020

PUTRAJAYA – Sebanyak 37 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan pertambahan satu korban baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 di negara ini sebanyak 8,304 kes.

Beliau berkata, pertambahan kes kematian ke-117 itu melibatkan seorang wanita warga emas berumur 79 tahun

“Beliau merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 ke 1,508. Beliau mempunyai gejala bermula pada 18 Mac 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Mac setelah disahkan positif wabak itu Covid-19.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada 5 Jun pukul 2.05 petang. Ia merupakan kes ke 2,296,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu terdapat 25 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah dibenarkan keluar wad iaitu sebanyak 6,635 kes atau 79.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Menurut Noor Hisham lagi, daripada 37 kes baharu yang dilaporkan, lapan kes adalah import dari luar negara manakala
daripada 29 kes penularan di dalam negara, 19 kes adalah bukan warganegara dan 10 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

“Sehingga kini, seramai lima (5) kes positif COVID-19 sedang
dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, tiada kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya. – MalaysiaGazette