Warga asing etnik Rohingya meninjau keadaan luar dari kediaman masing-masing selepas tidak lagi dibenarkan bekerja susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 MEI 2020

Oleh: Dr Zuraini Ab Hamid

Salah satu cara mudah yang boleh dilakukan untuk menjana pendapatan lebih adalah dengan menyewakan rumah atau bilik kepada individu lain termasuk warga asing. Kebiasaannya, iklan sewa rumah atau bilik hanya memerlukan pembayaran deposit sewa atau duit cagaran selama tiga bulan. Jarang sekali kita melihat pemilik rumah mengenakan syarat hanya warga negara Malaysia atau bukan warga negara yang mempunyai dokumen sah saja dibenarkan menyewa. Kesedaran untuk membuat surat perjanjian sewa rumah adalah lebih tinggi di bandar-bandar besar terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor. Ini kerana, kebanyakkan tuan rumah tidak langsung mengenali penyewa dan terdapat banyak kes penyewa menghilangkan diri begitu saja setelah gagal membayar sewa. Kejadian sebegini membuatkan pemilik rumah berfikir banyak kali sebelum menyewakan premis mereka kepada warga asing yang tiada dokumen
perjalanan yang sah seperti pasport dan visa pekerjaan. Keadaan ini jauh berbeza di bandar-bandar kecil dimana perjanjian sewa rumah secara lisan lebih disukai kerana lebih mudah dan menjamin pendapatan sewa untuk tempoh yang panjang.

Tidak kira samada perjanjian sewa dibuat secara lisan atau bertulis, terdapat banyak kes
dimana penyewa utama yang terlibat dalam perjanjian sewa rumah mengaut keuntungan
diatas angin. Penyewa utama tersebut berkongsi sewa atau sub-sewa kepada beberapa warga asing yang lain bagi mendapat bayaran yang lebih tinggi. Ada pemilik rumah yang sedar perkara ini terjadi, tetapi memilih untuk membiarkan saja asalkan sewa dibayar tepat pada masanya. Dalam keadaan tertentu, pemilik rumah juga mendapat bayaran sewa yang lebih tinggi dari apa yang ditetapkan oleh pasaran tempatan.

Dalam keadaan ini, pemilik rumah mungkin tidak sedar yang perbuatan dan sikap tidak
kisahnya boleh membawa kepada perlakuan jenayah yang menjanjikan hukuman penjara,
denda atau sebat. Antara jenayah yang boleh disabitkan dengan pemilik rumah adalah
jenayah pemerdagangan manusia dan kesalahan Imigresen. Menurut Menteri Pertahanan
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kes pemerdagangan manusia masih aktif sehingga kini
walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Sepanjang PKP, 41
pesalah jenayah pemerdagangan manusia telah ditahan.Mungkin masyarakat kita boleh belajar dari kes Siti Rashidah binti Razali & Ors v PP [2011] 6 MLJ 417. Dalam kes ini, keempat-empat perayu dituduh di Mahkamah Sesyen dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Antipermerdagangan Orang 2007. Menurut fakta kes, mereka telah ditahan disebuah rumah ketika serbuan pada 9 Ogos 2009.

Ketika serbuan, pihak penguatkuasa Imigresen telah menjumpai tujuh orang lelaki dewasa, dua orang wanita dewasa dan tiga orang kanak-kanak perempuan di dalam sebuah bilik yang kesemuanya adalah warga negara Myanmar yang tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah bagi memasuki Malaysia. Kesemua perayu telah mengaku salah dan Majistret telah menjatuhkah hukuman penjara tiga
tahun dari tarikh tangkap berjalan secara serentak untuk kedua-dua pertuduhan bagi perayu pertama, kedua dan ketiga. Majistret juga telah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun untuk pertuduhan pertama dan penjara lima tahun untuk pertuduhan kedua berjalan serentak dari tarikh tangkap bagi perayu keempat. Kesemua perayu tidak berpuas hati dan merayu ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi mendapati tiada unsur “eksploitasi” yang terlibat dalam kes ini seperti
yang diperlukan oleh Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang 2007. Bagaimanapun, Mahkamah menerima bukti pendakwaan yang menunjukkan mangsa-mangsa diberi makan dan minum dan tempat tinggal. Mahkamah Tinggi membatalkan sabitan terdahulu dan menggantikan sabitan di bawah seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, iaitu kesalahan melindungi Pendatang Tanpa Izin (PATI). Hukuman ke atas perayu-perayu adalah hukuman penjara sembilan bulan bermula dari tarikh tangkap dan setiap mereka dikenakan denda sebanyak RM120,000 atau enam bulan penjara jika ingkar bayaran dan untuk ketiga-tiga perayu lelaki dikenakan satu sebatan. Tiada sebatan bagi perayu perempuan. Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 memperuntukkan kesalahan memberikan perlindungan kepada pesalah Imigresen dengan cara memberikan tempat tinggal/ memberi makan/ minum dengan cara untuk menyembunyikannya. Hukumannya adalah penjara selama satu tempoh tidak melebihi dari 2 tahun, denda tidak kurang dari RM3,000 tetapi tidak melebihi dari RM6,000 atau kedua-duanya sekali, dan dalam hal suatu kesalahan kedua atau berikutnya, penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 4 tahun, suatu denda tidak kurang dari RM6,000 tetapi tidak melebihi dari RM12,000 atau kedua-duanya sekali di bawah peruntukan Bab 55 (1)(iii).

Oleh itu, pemilik rumah harus berhati-hati dalam menyewakan rumah atau premis miliknya kepada warga asing. Kebaikan pemilik rumah juga harus ada batasnya dimana mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melindungi warga asing dengan memberi tempat tinggal, makan atau minum kepada mereka. Kalaupun perbuatannya itu tidak dikaitkan dengan jenayah pemerdagangan manusia, ia mungkin dapat dikaitkan dengan kesalahan Imigresen terutamanya di bawah seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63. Pemilik rumah harus pastikan penyewa warga asing tersebut mempunyai dokumen perjalanan atau visa kerja yang sah sepanjang tempoh menyewa. Jangan kerana ketamakan untuk mendapatkan sewa lebih, kebebasan kita sebagai warganegara Malaysia dirampas dan berakhir di tirai besi.

Penulis ialah Pensyarah, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).