Dr. Najmil Faiz

KUALA LUMPUR – Perniagaan semakin terjejas, ekonomi menguncup dan pekerja mula diberhentikan akibat dari kemelesetan ekonomi pasca Covid-19 yang telah menunjukkan kesannya.

Justeru, 2020 merupakan tahun yang amat mencabar dan ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila ramai kecewa memikirkan nasib masa depan.

Serentak itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris menyeru Kementerian Kewangan menyegerakan segala program yang dirancang di bawah pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi untuk memulihkan ekonomi negara.

Katanya, segala permohonan ataupun rayuan pemohon yang layak perlu diselesaikan dengan segera.

“Jika ada mahu berniaga secara kecil-kecilan, mudahkan urusan mereka untuk mendapatkan lesen ataupun pinjaman. Kita tidak mahu birokrasi yang leceh ini mematahkan semangat mereka.

“Saya berpendapat, pertanian adalah sektor ekonomi yang amat berpotensi tinggi untuk membantu golongan terjejas menceburi bidang perniagaan dan mempunyai impak tinggi untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau menyatakan, tanah terbiar milik kerajaan dapat digunakan untuk pertanian dan mampu menjana kutub pertubuhan ekonomi yang baharu di sesebuah kawasan.

Dr. Najmil Faiz berkata, beliau yakin usaha itu jika diteliti dan dibantu agensi kerajaan akan memberi manfaat kepada negara seperti dapat mengurangkan import makanan serta meningkatkan sekuriti makanan negara.

“Malah, kita dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya. – MalaysiaGazette