Seramai 46 orang warga tempatan termasuk 15 wanita dikompaun berkumpul di pusat hiburan manakala beberapa warga asing ditahan bekerja tanpa permit sah dalam serbuan di pusat hiburan di Dataran Sunway Kota Damansara pada malam jumaat semalam.oleh Pasukan pols IPd Petaling Jaya. Foto Ihsan : IPD PJ

PETALING JAYA РSeramai 58 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika  berkumpul di pusat hiburan di Dataran Sunway, Kota Damansara semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan lanjut dalam premis yang diserbu pada pukul 8.45 malam semalam itu seramai 58 orang, terdiri daripada 41 lelaki dan 17 wanita berumur lingkungan antara 19 hingga 61 tahun sedang berkumpul dan berhibur.

“Satu lelaki warga tempatan berusia 43 tahun ditahan kerana disyaki menggaji warga asing tanpa permit kerja yang sah di sisi undang-undang selain turut meramps sekeping resit dan wang tunai berjumlah RM3,550.00.

“Manakala lapan orang lelaki warga asing berumur lingkungan antara 21 hingga 36 tahun yang berada di dalam pusat hiburan itu pula turut ditahan atas kesalahan melanggar syarat visa lawatan dan disyaki bekerja sebagai pelayan di premis itu,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/633 dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Manakala tiga lagi warga asing pula, katanya, telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah membuat semakan dokumentasi dengan Jabatan Imigresen.

Katanya, seramai 46 orang terdiri daripada 31 lelaki dan 15 wanita warga Malaysia disyaki pelanggan premis itu juga didapati melakukan kesalahan melanggar PKPB di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 6) 2020.

“Kesemua mereka telah dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang dengan serta merta di premis itu atas kesalahan mengingkar arahan PKPB dan berkumpul beramai-ramai.

“Justeru, PDRM juga memberi amaran kepada orang ramai supaya terus mematuhi PKPB yang disyaratkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan.

“Kegagalan mematuhi arahan ini membolehkan orang ramai diambil tindakan di bawah PPPPB (No. 6) 2020,” tegasnya.-MalaysiaGazette