Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar melihat proses ketulenan emas yang dipajak pada program bantuan Skim Covid Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) kepada penerima-penerima di Pejabat TEKUN Negeri Selangor, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 06 JUN 2020

SHAH ALAM – Peniaga-peniaga kecil yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih berpeluang mendapatkan pembiayaan pemulihan perniagaan mereka yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, walaupun hanya berniaga di tepi jalan, mereka boleh mengemukakan resit sewaan tapak harian sebagai bukti perniagaan mereka untuk memohon bantuan.

“Dalam masa 24 jam ini, saya banyak terima WhatsApp daripada orang-orang kampung yang tak pernah saya dengar

“Mereka kata perniagaan tidak berdaftar, tiada sijil daripada LHDN, jauh sekali nak dapat SSM. Dia ini penjual, bermacam makanan dia tunjuk kepada saya.

“Mereka boleh menjual, masalahnya dia tak berdaftar langsung.

“Kalau ada kutipan daripada kerajaan tempatan, walaupun bayar RM5 satu hari, ambil resit itu, resit itu pun KITA (TEKUN) terima,” katanya pada sidang media di pejabat TEKUN Negeri Selangor, hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan mock cek Skim Covid-19 Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) kepada peniaga-peniaga yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Katanya lagi, peniaga-peniaga kecil yang tidak berdaftar ini juga hanya boleh dibantu sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) turut membantu untuk membuktikan mereka terjejas benar-benar menjalankan perniagaan.

“Kita boleh laksanakan itu (CBRM) dengan syarat kerajaan tempatan kena buat kerja lah,” katanya

Beliau akan mengarahkan ketua setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi memastikan peniaga kecil ini tidak tercicir.

“Hal ini saya minta KSU bincang SME Corp lah kalau dapat angka itu sendiri (peniaga tidak berdaftar).

“Oleh kerana perbincangan dengan PM menerusi mesyuarat Kabinet perlu bantuan-bantuan kepada mereka yang yang mungkin tertinggal kerana tagline PM No Body Left Behind, jadi kita tak nak ada orang tertinggal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast